Bapa hilang dalam hutan selepas terima berita anak meninggal

JERANTUT - Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah kongsi di Hutan Simpan Tekal, Tembeling di sini pada malam Sabtu lalu dipercayai akibat tekanan emosi selepas menerima berita kematian anaknya.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad berkata, mangsa, Severinus Jakim, 37, yang bekerja sebagai pembawa jentera sedang makan bersama lima rakannya kira-kira jam 10.30 malam.
Menurutnya, lima minit kemudian, mangsa yang berasal dari Kampung Rompon, Tambunan, Sabah dilihat dalam keadaan panik dan menangis selepas dimaklumkan mengenai kematian anaknya di kampung.
“Pengadu yang juga rakan sekerja mangsa berusia 42 tahun memaklumkan Severinus membawa beg pakaian dan menyatakan hasrat untuk pulang ke kampung.
"Mangsa kemudian berjalan keluar mengikut laluan jalan balak,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Jelas beliau, mangsa sempat dilihat menyembunyikan diri apabila terserempak dengan kenderaan yang melalui kawasan tersebut sebelum hilang daripada pandangan.
“Rakan-rakan sekerja cuba menjejaki mangsa tetapi gagal disebabkan keadaan gelap dan faktor keselamatan. Keesokan harinya, mereka terus mencarinya tetapi tidak berjaya,” katanya.
Jelas beliau, keluarga mangsa turut memaklumkan bahawa Severinus mengalami masalah anxiety,
Zukri berkata, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan melibatkan pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Difahamkan, mangsa kali terakhir dilihat memakai baju T biru, topi ‘baseball’ hitam serta membawa beg pakaian.
Jelasnya, mangsa memiliki ketinggian kira-kira 162 sentimeter dengan berat 74 kilogram, berambut hitam dan berkulit sawa matang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan tersebut diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut di talian 092662222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

