Tarik bot guna tali seludup barangan subsidi di tengah malam

KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mendedahkan sindiket penyeludupan telah mengubah taktik mereka dengan menggunakan tali untuk menarik bot fiber pada waktu malam bagi membawa barangan bersubsidi ke negara jiran secara haram.
Modus operandi baharu itu digunakan bagi mengelakkan bunyi bot dikesan pihak berkuasa, susulan penguatkuasaan larangan merentas sempadan melalui pangkalan haram yang berkuat kuasa sejak 1 Disember lalu.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, taktik tersebut dikesan giat digunakan oleh penyeludup, khususnya ketika musim kemarau apabila paras air Sungai Golok menjadi cetek dengan lebar sekitar 10 meter.

“Dalam kegelapan malam, mereka tidak perlu menghidupkan enjin bot. Cuma letakkan barangan dalam bot fiber dan tarik menggunakan tali dari seberang tanpa sebarang bunyi.
“Namun, pada sebelah pagi, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) akan melakukan rondaan dan memotong tali-tali berkenaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan ini,” katanya semasa sidang akhbar selepas melakukan pemeriksaan Ops Kesan di Pasar Raya PKT Pasir Tumbuh, di sini pada Selasa.
Menurut Azman, pihaknya sentiasa menjalankan kerjasama erat dengan PGA dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memperkukuh kawalan keselamatan di sepanjang 96 kilometer sempadan yang dipisahkan oleh Sungai Golok.
Tambahnya, semua jeti haram telah berjaya dihapuskan, namun masih terdapat pangkalan haram atau persendirian yang dibina atas tanah milik individu yang mempunyai geran di tepi sungai.
“Bagaimanapun, kami serta pihak berkuasa yang lain sentiasa mengetatkan kawalan bagi mengekang penyeludupan barangan bersubsidi ke negara jiran,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

