Isu 'kutty': Kes saman Tun Mahathir, Ahmad Zahid selesai secara baik

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju untuk menyelesaikan kes saman fitnah secara baik di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.
Dr Mahathir, 100, selaku plaintif menarik balik samannya terhadap Ahmad Zahid, 73, atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu 'kutty'.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu pula menarik balik saman fitnah terhadap bekas Ahli Parlimen Langkawi, berhubung dakwaan beliau menggunakan kedudukan bagi mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk campur tangan dalam prosiding kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.
Ia susulan kedua-dua pemimpin politik ini, menimbangkan saranan supaya menyelesaikan kes di luar mahkamah demi mengutamakan kepentingan rakyat dan memulihkan keharmonian.
Menurut kenyataan bersama Dr Mahathir dan Ahmad Zahid, mereka bersetuju menghentikan pertikaian peribadi.
Peguam yang mewakili Dr Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, kedua-dua pihak mengakui ada kenyataan yang menimbulkan kekeliruan berkaitan identiti dan integriti mereka.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkara ini telah diperjelaskan dengan sewajarnya oleh semua pihak.
Katanya, Ahmad Zahid tidak mempertikaikan nama Dr Mahathir seperti yang didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara iaitu Mahathir bin Mohamad.
Katanya, sebarang kenyataan yang menimbulkan tanggapan sebaliknya, telah dibuat berdasarkan maklumat daripada Ketua Pengarah JPN maka tiada sebab untuk Ahmad Zahid meraguinya, pada ketika itu.
“Pihak-pihak menarik balik sebarang rujukan kepada kewujudan dokumen pengenalan dengan nama 'Mahathir a/l Iskandar Kutty'.
“Dr Mahathir pula tidak mempertikaikan kenyataannya pada 23 Februari 2022 berkenaan siasatan atau prosiding jenayah terhadap Ahmad Zahid, berdasarkan kepada maklumat daripada pihak ketiga.
“Ia yang mana Dr Mahathir tiada sebab untuk meragui pada ketika itu,” katanya ketika membaca kenyataan itu dalam sidang media di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.
Sementara itu, peguam, Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Presiden UMNO itu berkata, kedua-dua pihak percaya subjek utama dalam pertikaian tidak lagi berbangkit dan tidak perlu diperjelaskan.
Menurutnya, penyelesaian ini bukan sahaja menamatkan prosiding sivill yang sedang berjalan, malah mengukuhkan semangat perpaduan dan mempertingkaikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara.
“Kedua-dua pihak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Hakim Mahkamah Tinggi dan pegawai mahkamah yang telah menunjukkan kewibawaan institusi kehakiman negara dalam menjalankan amanah dengan penuh hemah dan berdedikasi,” katanya.
Pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir memfailkan saman dengan menamakan Ahmad Zahid sebagai defendan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, beliau mendakwa defendan mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah, dan berniat jahat yang secara langsung merujuk kepada dirinya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.
Dr Mahathir percaya bahawa individu dirujuk dalam kenyataan fitnah tersebut sebagai ‘orang itu’, ‘dia’, dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepada dirinya.
Beliau mendakwa, kenyataan Ahmad Zahid yang berniat jahat itu menyebabkan beliau terdedah kepada kebencian masyarakat, selain menjejaskan kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang dihormati di peringkat antarabangsa.
Katanya, kenyataan itu turut memberi maksud tersirat bahawa kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu dipersoalkan.
Bekas pemimpin UMNO itu berkata, kenyataan sedemikian menggambarkan dirinya sebagai seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, mementingkan diri, tidak beretika dalam memegang jawatan awam, dan tidak layak menjadi pemimpin.
Pada 5 Disember tahun lepas, Dr Mahathir selesai memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman itu sementara anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai saksi terakhir plaintif pada 9 Disember tahun sama.
Sejurus itu, Dr Mahathir menunjukkan beberapa salinan dokumen termasuk kad pengenalan lama miliknya, isteri dan empat anak berserta surat beranak asal bagi membuktikan nama sebenar mereka dalam satu sidang media di lobi mahkamah.
Beliau yang menyambut kelahiran satu abad pada 10 Julai lalu menyatakan, semua salinan kad pengenalan berkenaan diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Susulan itu, pada 7 Januari, Ahmad Zahid mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Dr Mahathir.
Sidang media itu direkodkan oleh dua portal berita pada 5 Disember tahun lalu selepas Dr Mahathir memberi keterangan dalam perbicaraan kes bagi kes saman bagi isu ‘kutty’.
Selepas kedua-dua video itu ditayangkan, Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong meminta kedua-dua pihak mengemas kini mahkamah mengenai tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

