'Otak mangsa sudah tidak berfungsi, doakan keajaiban buat adik Ahmad Firdaus Iqbal ' - Exco

MELAKA – “Hanya keajaiban daripada ALLAH SWT yang mampu menentukan segalanya.”
Demikian harapan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Melaka, Datuk Kalsom Noordin berhubung keadaan Ahmad Firdaus Iqbal, 7, yang kini masih bergantung sepenuhnya kepada mesin bantuan pernafasan selepas insiden lemas di sebuah kolam renang.
Menurut Kalsom, pemeriksaan doktor mendapati otak kanak-kanak malang itu sudah tidak lagi berfungsi atau brain dead selepas kejadian yang berlaku di kolam renang sebuah rumah inap di kondominium Taman Kota Shahbandar, Kota Laksamana pada Sabtu lalu.
“Saya dimaklumkan keluarga mangsa kini hanya mampu berharap ada keajaiban berlaku. Ibu bapa Ahmad Firdaus Iqbal benar-benar memohon doa daripada orang ramai agar anak mereka diberi peluang untuk hidup.
“Pada hari pertama kejadian, mungkin bapa mangsa terlalu sedih dan gagal mengawal emosi sehingga memuat naik status bahawa anaknya sudah meninggal dunia. Tetapi sebenarnya, mangsa masih di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Melaka dan sepenuhnya bergantung pada mesin,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa pada Isnin.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Halyjah Muhammad yang bersama-sama memberikan sokongan moral kepada keluarga terbabit.
Mengulas lanjut, Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu berkata, Ahmad Firdaus Iqbal dijadualkan menjalani satu prosedur khas pada Selasa ini bagi mengetahui sama ada terdapat tindak balas sekiranya mesin bantuan pernafasan dicabut.
Terdahulu, bapa mangsa, Ahmad Ridzuan Supian, 36, sebelum ini memaklumkan anak bongsu daripada dua beradik itu telah meninggal dunia selepas tidak menunjukkan sebarang reaksi balas ketika menerima rawatan.
Malah, beliau turut berkongsi bahawa jenazah akan dibawa pulang ke Johor untuk urusan pengebumian menerusi akaun TikTok miliknya.
Bagaimanapun, Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa kanak-kanak berkenaan sebenarnya masih dirawat secara intensif di hospital dengan pemantauan rapi daripada doktor.
Dalam kejadian Sabtu lalu, Ahmad Firdaus Iqbal ditemukan lemas di kolam renang oleh orang awam sekitar jam 9.45 pagi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Zahery Mohd Zailani berkata, anggota bomba bertindak pantas memberikan bantuan pernafasan cardiopulmonary resuscitation (CPR) sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka.
Orang ramai diseru bersama-sama mendoakan keajaiban buat Ahmad Firdaus Iqbal agar diberi peluang kedua untuk terus hidup.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

