Pelaburan lonjak ekonomi, gaji dan pekerjaan rakyat – PM

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan data terkini pelaburan sektor pembuatan yang menunjukkan pemulihan ekonomi negara berada pada landasan kukuh dengan impak terus dirasai rakyat melalui peningkatan dalam peluang pekerjaan, kadar gaji dan nilai tambah industri.
Menurut beliau, sebanyak 3,494 projek pelaburan sektor pembuatan telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sejak tahun 2021 hingga Jun 2025.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 3,095 projek telah direalisasikan dan sedang beroperasi, mewakili kadar pelaksanaan tinggi iaitu 86.4 peratus.
“Ini bukti bahawa pelaburan bukan sekadar diumum, tetapi dilaksanakan dan memberikan kesan langsung kepada ekonomi serta kehidupan rakyat,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini, pada Isnin.
Anwar berkata, pelaburan yang telah diluluskan dan direalisasikan itu telah mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan bagi Suku Pertama 2025.
Dalam tempoh sama, gaji median sektor pembuatan meningkat sebanyak 5.4 peratus kepada RM2,745 berbanding RM2,600 pada tahun lalu, sejajar dengan pelaksanaan kenaikan gaji minimum kepada RM1,700.
“Ini bukan angan-angan. Kita mahu pastikan pelaburan memberi manfaat langsung kepada pekerja tempatan, bukan hanya menguntungkan pelabur semata-mata,” katanya.
Tambah beliau, nilai tambah sektor pembuatan turut meningkat 4.1 peratus kepada RM95.7 bilion berbanding RM91.9 bilion tahun lalu.
Bagi memastikan pelaburan dilaksanakan secara pantas, Perdana Menteri berkata, kerajaan menubuhkan Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) pada Disember 2023 yang sehingga kini telah memudah cara 28,166 permohonan pelabur dengan kadar penyelesaian 99.9 peratus.
Permohonan ini merangkumi isu berkaitan permit, kuota pekerja asing, utiliti dan percukaian yang sering menjadi halangan utama pelabur sebelum ini.
“Sebab itu saya tegaskan, bukan sekadar umum angka. Kita pastikan pelaburan itu berjalan dan beri kesan kepada rakyat,” katanya.
“Ini perbezaan pendekatan kita. Kita permudah, bukan menyulitkan,” ujar Perdana Menteri.
Dari segi pengiktirafan global, Anwar berkata, kedudukan Malaysia dalam World Competitiveness Ranking oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) melonjak dari tangga ke-34 pada 2024 kepada tangga ke-23 tahun ini, peningkatan tertinggi dalam kalangan semua negara.
“Lonjakan ini paling tinggi dalam kalangan semua negara yang dinilai. Ia didorong oleh prestasi ekonomi dan kecekapan kerajaan,” katanya.
Beliau turut memetik laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang memuji komitmen kerajaan dalam reformasi fiskal menerusi pelaksanaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA).
Menurutnya, kerajaan berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 5.0 peratus (2023), 4.1 peratus (2024) dan mensasarkan 3.8 peratus tahun ini.
Hutang baharu tahunan juga susut kepada RM77 bilion pada 2024 berbanding RM99 bilion dua tahun lalu.
Pada masa sama, Anwar berkata, ringgit mengukuh lebih lima peratus berbanding dolar Amerika Syarikat dan kini berada pada paras RM4.25 menjadikannya antara lima mata wang terbaik di Asia.
“Ringgit kita lebih baik daripada Yen, Renminbi, Dolar Singapura dan Baht Thailand. Fakta ini jarang disebut kerana segelintir hanya mahu fokus pada kelemahan bukan kemajuan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

