Sektor pembuatan, eksport Pulau Pinang hadapi tekanan besar - InvestPenang

Tarif beri kesan langsung kepada operasi, keuntungan dan tenaga kerja syarikat tempatan.

Tarif dilihat berpotensi menyebabkan tekanan inflasi, penyusutan aktiviti pembuatan serta peningkatan kadar pengangguran.
Tarif dilihat berpotensi menyebabkan tekanan inflasi, penyusutan aktiviti pembuatan serta peningkatan kadar pengangguran.
A
A
A

GEORGE TOWN - Sektor pembuatan dan eksport di Pulau Pinang kini berdepan tekanan besar susulan tarif sebanyak 24 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas barangan eksport dari Malaysia.

Ia sekali gus memberi kesan langsung kepada operasi, keuntungan dan tenaga kerja syarikat tempatan.

Agensi penggalakan pelaburan negeri, InvestPenang berkata, kebanyakan syarikat yang berorientasikan eksport sedang menilai semula strategi perniagaan masing-masing termasuk menyemak unjuran untung rugi (P&L) serta meneroka penyesuaian rantaian bekalan.

Menurutnya, antara langkah yang sedang dipertimbangkan termasuk memindahkan sebahagian operasi ke negara lain yang kurang terdedah kepada tarif atau membuka kilang pemasangan di AS sendiri.

"Syarikat tempatan yang terbabit dalam pengeluaran peralatan ujian automatik (ATE) turut tidak terkecuali. Mereka kini giat menilai kesesuaian untuk menubuhkan barisan pemasangan modul akhir di AS bagi mengekalkan akses pasaran dan mengelak kesan tarif yang tinggi.

"Dalam masa sama, syarikat multinasional (MNC) yang beroperasi di negara ini dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengalihkan pengeluaran ke Mexico. Ini susulan kelebihan tarif sifar yang ditawarkan menerusi Perjanjian Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA) bagi barangan yang mematuhi syarat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah InvestPenang, tarif bagi barangan yang tidak mematuhi USMCA kini mencecah 25 peratus namun dijangka turun kepada 12 peratus sekiranya perintah di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) yang berkait isu fentanyl dan migrasi ditamatkan.

"Pada masa sama, pihak industri terus memantau rundingan perdagangan antara Vietnam dan AS yang dijangka boleh mengubah peta daya saing rantau Asia Tenggara sekiranya hasilnya memihak kepada negara itu.

"Sementara itu, timbul juga kebimbangan terhadap kemungkinan berlaku lambakan barangan dari negara jiran ke pasaran tempatan susulan perubahan hala tuju eksport.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan ini dikhuatiri akan menjejaskan pengeluar tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana selain mengganggu kestabilan harga di pasaran," katanya lagi.

Ujarnya, kesan tarif ini turut berpotensi menyebabkan tekanan inflasi, penyusutan aktiviti pembuatan serta peningkatan kadar pengangguran dalam tempoh terdekat sekiranya isu itu tidak ditangani segera.

"Lebih membimbangkan, situasi ini turut memberi isyarat negatif kepada pelabur luar yang mungkin melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang kurang kompetitif berbanding negara lain yang mempunyai perjanjian perdagangan lebih baik dengan AS.

"Sehubungan itu, pemain industri mendesak kerajaan Malaysia supaya segera mengadakan rundingan dua hala dengan pentadbiran AS bagi merundingkan semula kadar tarif tersebut," katanya.

Pada masa sama, InvestPenang juga menyarankan agar kerajaan memantau perkembangan rundingan perdagangan di negara-negara pesaing seperti Mexico, Costa Rica, Poland dan Ireland.

"Langkah ini dilihat penting untuk memastikan Malaysia kekal sebagai hab perindustrian yang berdaya saing dan mampan dalam jangka panjang," katanya.

Pada 2 April lalu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan beberapa tarif baharu yang secara langsung menaikkan duti import ke atas beberapa rakan dagang Washington di Asia Tenggara.

Negara paling terkesan ialah Kemboja dengan tarif asas sebanyak 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus) dan Myanmar (44 peratus).

Thailand dikenakan tarif sebanyak 36 peratus, Indonesia 32 peratus, Brunei dan Malaysia masing-masing 24 peratus, Filipina 17 peratus dan Singapura 10 peratus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!