Ketua Hakim Negara perlu tangani dakwaan salah laku, kekal bebas - Syahredzan

Syahredzan
Syahredzan
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Hakim Negara yang baharu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh disaran mengambil langkah proaktif dalam menekankan kebebasan badan kehakiman serta menangani dakwaan salah laku dalam kalangan hakim.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, pelantikan Wan Ahmad Farid merupakan langkah penting yang membuka lembaran baharu buat institusi kehakiman negara.

Malah, ujarnya, rakyat Malaysia sudah tentu menjangkakan Ketua Hakim Negara yang baharu akan terus menarik diri daripada mendengar kes-kes yang mungkin menimbulkan persepsi negatif terhadap integriti badan kehakiman yang diterajuinya.

"Wan Ahmad Farid juga wajar memulakan prosiding yang relevan mengikut undang-undang terhadap dakwaan salah laku mana-mana hakim, seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan, Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 dan juga Kod Etika Hakim 2009, susulan apa yang disebut sebagai kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

"Ini penting untuk memulihkan keyakinan umum terhadap institusi kehakiman yang sedikit tercalar mutakhir ini," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa meskipun pelantikan tersebut disambut dengan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat ekoran latar belakang Wan Ahmad Farid yang pernah terlibat dalam politik kepartian, rakyat tetap berharap legasi kepimpinan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dapat diteruskan dalam memastikan badan kehakiman kekal bebas daripada campur tangan pihak luar.

"Wan Ahmad Farid pernah beberapa kali sebelum ini menarik diri daripada mendengar kes-kes yang melibatkan konflik kepentingan dirinya dengan bekas partinya.

"Dalam alasan yang diberikan untuk menarik diri, beliau telah menekankan betapa pentingnya kebebasan badan kehakiman," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!