Tiga rakan berpelukan bebas tuduhan edar dadah

IPOH – Tiga rakan saling berpelukan dalam kandang tertuduh selepas Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu melepaskan dan membebaskan mereka daripada pertuduhan mengedar dadah enam tahun lalu.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan melepaskan dan membebaskan Mohd Nazreen Hazmi Abdullah Satar, 35, Mohd Suhaimi Ahmad, 42, dan Muhammad Shafiq Shamsuddin, 38, daripada pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan.
Mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh.
Dalam penghakiman ringkasnya, Bhupindar Singh menyatakan bahawa terdapat beberapa percanggahan ketara dalam kes tersebut yang menimbulkan pelbagai keraguan munasabah terhadap integriti keterangan dan barang kes.
Perkara itu termasuklah perbezaan tanda pada barang kes yang dirampas, perbezaan berat kandungan dadah yang ketara semasa di lokasi dan semasa dihantar untuk analisis serta keterangan bercanggah antara pegawai serbuan dan pegawai penyiasat berhubung kedudukan suspek semasa serbuan dilakukan.
“Kegagalan untuk mendedahkan atau memanggil pegawai forensik sebagai saksi telah mewujudkan kelompongan besar dalam kes pendakwaan.
“Mahkamah berpendapat bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kewujudan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memutuskan bahawa ketiga-tiga tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 1,145.5 gram di sebuah rumah di Taman Pinji Seni, Ipoh dalam daerah Kinta pada kira-kira jam 7.45 malam, 17 November 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
Seramai tujuh saksi pendakwaan telah dipanggil sepanjang prosiding kes yang berlangsung sejak 2019.
Semua tertuduh yang bekerja sebagai buruh kasar diwakili peguam masing-masing iaitu Ranjit Singh Sandhu, Charan Singh dan V Santhiran.
Manakala pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khazrin Haffiz Khalil.
Sementara itu, Charan ketika ditemui pemberita berkata, tiada sebarang penjelasan diberikan mengenai perbezaan berat kandungan dadah sebanyak 90 gram yang dibangkitkan pihak pembelaan.
“Pegawai penimbang menyatakan dadah memenuhi sepenuhnya bekas Tupperware, tetapi apabila sampai ke ahli kimia, kandungannya hanya separuh. Gambar yang diambil oleh ahli kimia turut menunjukkan demikian,” katanya.
Lebih meragukan, katanya, pihak pendakwaan gagal memanggil pegawai forensik yang dikatakan telah membuat pemeriksaan cap jari pada barang kes.
“Pegawai penyiasat mendakwa kesan cap jari yang ditemui adalah hasil kerja forensik, tetapi dari awal tiada siapa nyatakan pegawai mana yang terlibat. Bahkan nama pegawai forensik pun tidak dapat diingati,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan polis berjaya membongkar satu sindiket penghasilan dan pengedaran dadah jenis ganja di Perak yang menggunakan alat pengisar mirip kelongsong peluru.
Taktik itu berjaya dikesan dengan tertangkapnya tiga lelaki dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Pinji Seni di sini pada 17 November 2019.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

