Empat lelaki berdepan hukuman mati, edar dadah lebih 28 kilogram

Empat lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Jumaat atas dua pertuduhan mengedar dadah lebih 28 kilogram.
Empat lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Jumaat atas dua pertuduhan mengedar dadah lebih 28 kilogram.
A
A
A

TELUK INTAN - Empat lelaki berdepan hukuman mati di Mahkamah Majistret Teluk Intan atas dua pertuduhan mengedar dadah berbahaya lebih 28 kilogram minggu lalu.

Tertuduh, N Maghendran, 48; B Vasanthan, 45; P Sivaganesh, 43, dan N Devandaran, 33, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka secara bersama didapati mengedar dadah berbahaya iaitu jenis methamphetamine dengan anggaran berat 27,050 gram.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis tidak bernombor di Kampung Baru Sungai Dua, Ulu Bernam dalam daerah Bagan Datuk antara 12 hingga 16 Mac 2025.

Pertuduhan kedua, keempat-empat tertuduh turut didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan anggaran berat 1,800 gram pada tempat dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, mereka secara bersama dituduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesemua lelaki itu boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum dengan hukuman mati hendaklah dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 15 sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan tarikh 3 Jun depan sebagai sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.

Terdahulu, media melaporkan kegiatan tiga lelaki yang menjadikan sebuah rumah kampung usang sebagai makmal memproses dadah terbongkar dalam serbuan di Ulu Bernam, Bagan Datuk.

Serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu berjaya merampas dadah serta pelbagai peralatan memproses bernilai lebih RM1.6 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!