[VIDEO] Biarkan lembu, kambing kelaparan taktik terbaharu seludup dadah
KOTA BHARU - Polis Kelantan mengesan taktik baharu yang digunakan sindiket penyeludupan dadah dengan menggunakan lembu dan kambing, sehingga sanggup membiarkan haiwan ternakan itu kelaparan bagi memastikan tiada pembuangan najis berlaku sepanjang tempoh kuarantin selama dua minggu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, ternakan terbabit dibawa masuk secara sah menggunakan permit, tetapi perlu dikuarantin terlebih dahulu mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Bukti masih belum ditemui tetapi kami mendapat maklumat terkini dan sedang menjalankan siasatan.
“Dadah terbabit dipercayai dimasukkan ke dalam badan haiwan ternakan dan dibawa masuk secara sah.
“Kemudian lembu dan kambing itu akan dikuarantin, dan kami mendapat maklumat bahawa pemilik sepatutnya memberi makan serta minum kepada haiwan terbabit sepanjang tempoh dua minggu mereka berada di situ,” katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.
Sebelum itu, beliau merasmikan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Menurutnya, pemerhatian mendapati ada pemilik yang sengaja tidak memberi makan kepada haiwan ternakan itu, dipercayai bagi mengelakkan haiwan berkenaan membuang najis.
Ujarnya, jika berlaku sedemikian, dadah dipercayai akan dikeluarkan dari badan haiwan terbabit sebelum sempat dipasarkan.
Mohd Yusoff memberitahu, pihaknya sedang menjalankan pemantauan dan akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Dalam perkembangan sama, katanya, penyeludupan dadah menggunakan haiwan ternakan seperti lembu dan kambing dipercayai berlaku kerana faktor Sungai Golok yang sempit dan cetek.
“Terutamanya melibatkan kawasan di sebelah Pasir Mas dan Tanah Merah, di mana kami mengesan banyak aktiviti membawa masuk haiwan ternakan dari negara jiran,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

