Emraz Travel, pengarah didakwa di Sabah, gagal bayar tuntutan lebih RM232,000

Syarikat Emraz Travel & Tours Sdn Bhd dan pengarahnya, Datuk Zulkarnain Endut didakwa atas enam kes berasingan yang difailkan oleh setiap pengguna di bawah TTPM Sabah.
Syarikat Emraz Travel & Tours Sdn Bhd dan pengarahnya, Datuk Zulkarnain Endut didakwa atas enam kes berasingan yang difailkan oleh setiap pengguna di bawah TTPM Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Syarikat pengendali umrah dan pengarahnya didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas 18 pertuduhan kerana gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk membayar semula tuntutan wang kepada enam mangsa berjumlah RM232,526.80.

Syarikat Emraz Travel & Tours Sdn Bhd dan pengarahnya, Datuk Zulkarnain Endut, 44, didakwa atas enam kes berasingan yang difailkan oleh setiap pengguna di bawah TTPM Sabah.

Bagaimanapun, tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.

Menurut pertuduhan, syarikat itu gagal mematuhi arahan tribunal antara Julai 2023 hingga Januari 2024, melibatkan tuntutan antara RM24,656.80 hingga RM50,000 daripada enam pengguna berbeza.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, Jalan UMS di sini.

Bagi setiap pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

Zulkarnain turut didakwa secara bersama di bawah Seksyen 143 akta sama, yang membolehkan pertanggungjawaban jenayah dikenakan terhadap pegawai syarikat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Mahadi dan Md Syafique Hilmi, manakala tertuduh diwakili peguam daripada firma guaman dari FN Lee dan Nasser.

Mahkamah menetapkan 23 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1,000 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM6,000 selain diarah untuk melaporkan diri ke pejabat KPDN Putrajaya setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!