'Counter setting’ KLIA: Bangladesh 'bayar' penguat kuasa hingga RM2,500

Dua warga Bangladesh direman SPRM pada Selasa dipercayai mendalangi sindiket kemasukan warga asing di KLIA.
Dua warga Bangladesh direman SPRM pada Selasa dipercayai mendalangi sindiket kemasukan warga asing di KLIA.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua warga Bangladesh termasuk seorang pengarah syarikat pelancongan disyaki mendalangi sindiket kemasukan warga asing dengan memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA 1).

Pegawai Pendaftar Kanan, Shaik Zuladdruse Merican Sadzol Othman Merican membenarkan kedua-dua suspek direman selama enam hari sehingga 20 Julai selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Selasa.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu telah ditahan dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur antara jam 5 petang hingga 7 malam Isnin.

“Siasatan awal mempercayai kedua-dua suspek merupakan ejen warga asing yang memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa di KLIA 1 bagi memudahkan kemasukan warga asing melalui pintu masuk negara.

“Modus operandi yang digunakan sindiket ini ialah mendekati pegawai penguat kuasa di KLIA bagi menjalankan aktiviti ‘counter setting’ di mana pegawai yang terlibat akan memudahkan proses pemeriksaan warga asing tersebut,” katanya.

Penahanan itu dilaksanakan SPRM melalui Bahagian Perisikan menerusi Op Recruit di sekitar Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur bersama Bahagian Perisikan dan Operasi Khas serta Bahagian Integriti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Kata sumber, operasi yang turut disertai anggota Skuad Taktikal Antirasuah (ACTS) berpandukan maklumat hasil risikan sejak awal tahun ini.

"Pihak JIM turut menahan 29 warga asing yang terdiri daripada 21 lelaki dan lapan wanita yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Kesemua warga asing ini telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas SPRM, pihaknya turut menyita tiga unit telefon bimbit dan juga pelbagai mata wang asing seperti dollar (Amerika Syarikat), rupiah (Indonesia) dan taka (Bangladesh) bernilai kira-kira RM16,000 dalam serbuan tersebut.

Menurut sumber lagi, bermula Januari hingga awal bulan ini, SPRM turut mengesan sebanyak 10 transaksi berlaku dengan jumlah keseluruhan bernilai kira-kira RM138,000.

“Siasatan awal turut mendapati bagi setiap individu, pegawai penguat kuasa yang terlibat akan diberikan rasuah antara kira-kira RM1,800 hingga RM2,500.

“Pembayaran yang dilakukan oleh sindiket ini adalah secara tunai melalui orang tengah dan lokasinya adalah di dalam kenderaan dan juga premis kediaman suspek di sekitar Kuala Lumpur dan juga Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!