Dua individu termasuk seorang penjawat awam direman disyaki salah guna kuasa

ALOR SETAR – Dua individu termasuk seorang penjawat awam direman lima hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa melibatkan projek penyelenggaraan dan pembersihan bernilai kira-kira RM300,000.
Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali membenarkan kedua-dua suspek direman selama lima hari bermula Rabu hingga Ahad selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar pada Rabu.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia 30-an itu telah ditahan kira-kira jam 11 pagi hingga 2 petang pada Selasa ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.
Katanya, kedua-dua suspek disyaki telah melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2020 dan 2021.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bersubahat di mana suspek utama yang juga seorang penjawat awam telah menyalahgunakan kedudukannya bagi membolehkan kedua-duanya mendapat keuntungan daripada syarikat yang dilantik,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

