Kegiatan 'counter setting' beri ruang warga asing buat aktiviti haram - MCW

Tangkapan terbaharu menunjukkan usaha berterusan pihak berkuasa dalam membanteras sindiket rasuah 'counter setting' di KLIA.
Tangkapan terbaharu menunjukkan usaha berterusan pihak berkuasa dalam membanteras sindiket rasuah 'counter setting' di KLIA.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan 'counter setting' menunjukkan kelemahan serius dalam sistem penguatkuasaan di pintu masuk utama negara.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, bayaran melalui saluran 'counter setting' bukan sahaja menjejaskan keselamatan negara, tetapi juga memberi peluang kepada warga asing menjalankan aktiviti haram.

Jais
Jais

"Tangkapan terbaharu menunjukkan usaha berterusan pihak berkuasa dalam membanteras sindiket rasuah 'counter setting' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Bagaimanapun, untuk mewujudkan sistem imigresen yang lebih telus dan berkesan, pendekatan kawalan, teknologi dan kerjasama agensi perlu ditambah baik," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Jais berkata, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia ketika ini wajar diberikan pujian kerana menunjukkan komitmen membanteras rasuah.

"Tahniah juga kepada pengamal media yang terus memberi perkembangan kes berkaitan 'counter setting' serta tindakan susulan daripada agensi berwajib yang berkenaan," katanya.

Menurutnya, sistem pengawasan dalaman (seperti kamera litar tertutup di kaunter, pemantauan audit secara berkala) perlu dipertingkatkan seperti yang telah diusahakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)

Artikel Berkaitan:

"Usaha seperti 'Op Pump', Op Setting, melibatkan kerjasama SPRM, JIM, dan pihak berkuasa sempadan, menunjukkan hasil positif dengan lebih 50 pegawai ditahan dan isu ini semakin dibongkar secara menyeluruh.

"Kelemahan dalam kawalan imigresen membuka ruang kepada masalah seperti pendatang tanpa izin.

"Tanpa kerjasama rapat, kita akan terus melihat lambakan pekerja asing tidak sah yang sukar dikesan," ujarnya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan SPRM menahan dua warga Bangladesh termasuk seorang pengarah syarikat pelancongan disyaki mendalangi sindiket kemasukan warga asing dengan memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa di KLIA Terminal 1.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu telah ditahan dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur antara jam 5 petang hingga 7 malam pada Isnin.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek merupakan ejen warga asing yang memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa di KLIA bagi memudahkan kemasukan warga asing melalui pintu masuk negara.

Modus operandi yang digunakan sindiket tersebut adalah dengan mendekati pegawai penguat kuasa di KLIA bagi menjalankan aktiviti ‘counter setting’ di mana pegawai yang terlibat akan memudahkan proses pemeriksaan warga asing ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!