Lelaki pegang parang, maki hamun penguat kuasa DBKL diberkas

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan kerana membuat provokasi sambil memegang sebilah parang serta memaki hamun anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kejadian di Desa Pandan di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim berkata, kejadian berlaku ketika pasukannya bersama penguat kuasa DBKL, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sedang menjalankan kawalan keselamatan bagi tindakan bersepadu merobohkan struktur haram di atas siar kaki di kawasan berkenaan sekitar jam 10 pagi.
“Pada jam 11.17 pagi, seorang lelaki telah datang ke lokasi dan membuat provokasi sambil memegang sebilah parang serta melibas dan memaki hamun ke arah penguat kuasa DBKL,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, suspek telah berjaya ditenangkan oleh beberapa orang awam yang berada di tempat kejadian.
“Suspek berusia 43 tahun itu telah ditahan dan sebilah parang miliknya turut dirampas di lokasi berhampiran kejadian.
“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurut Mohamad Lazim, orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran serta menghentikan penularan rakaman kejadian ini di media sosial.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat agar menghubungi Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-9281 0715, atau mana-mana balai polis berdekatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
