Yuran platform e-dagang perlu perbincangan seimbang - MAMBA

KUALA LUMPUR – Persatuan Perniagaan Mikro Malaysia (MAMBA) menyarankan agar perbincangan yang lebih seimbang dan membina diadakan berhubung penyesuaian struktur yuran oleh platform e-dagang baru-baru ini.
Setiausaha Agung MAMBA, Alvin Low Wei Yan berkata, isu ini perlu dilihat secara holistik dengan mengambil kira kelestarian jangka panjang platform digital serta daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
“Kita mesti elakkan taktik menakut-nakutkan dan mempolitikkan perbincangan penting yang memberi kesan langsung kepada ribuan peniaga tempatan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, perlu ada ruang untuk dialog supaya semua pihak, daripada penjual kepada pembeli dan platform dapat menang bersama.
"MAMBA mengakui bahawa kenaikan harga bukanlah sesuatu yang mudah, namun menegaskan bahawa dinamik global masa kini khususnya perang perdagangan yang semakin memuncak antara AS dan China serta pengenaan tarif—dijangka menyebabkan lambakan produk murah dari China dialihkan ke pasaran Asia Tenggara, termasuk Malaysia.
“Kita sudah mula melihat lambakan produk import murah memasuki pasaran melalui platform e-dagang baharu dan sedia ada yang menyasarkan pengguna di Malaysia, sekaligus menjejaskan penjual tempatan dan mengancam kelangsungan mereka,” ujar Alvin.
Beliau berkata, trend ini dijangka terus meningkat dalam bulan-bulan akan datang, dan kita perlu bersedia secara strategik.
Oleh itu, katanya, adalah penting untuk kerajaan dan penjual tempatan bekerjasama serta menyokong platform yang terus meletakkan PMKS sebagai teras dalam ekosistem mereka.
"Bagi menangani tekanan semasa, MAMBA percaya bahawa platform perlu terus melabur dalam infrastruktur, peralatan dan perkhidmatan yang meningkatkan kepuasan pelanggan, seperti penghantaran yang lebih pantas, proses pemulangan yang boleh dipercayai, fungsi carian yang lebih baik, serta cadangan produk yang dipacu kecerdasan buatan (AI)," katanya.
Tegasnya lagi, penambahbaikan ini menjadikan platform lebih menarik kepada pembeli, meningkatkan trafik dan seterusnya membantu peniaga meningkatkan keterlihatan serta kadar penukaran.
“Pengalaman pelanggan yang baik bukan hanya isu pembeli - ia adalah isu penjual juga. Apabila platform dilihat sebagai boleh dipercayai, mudah dan cekap, semua pihak mendapat manfaat," katanya.
Alvin berkata, penjual yang menggunakan platform sebegini berpeluang lebih tinggi untuk membina kesetiaan pelanggan dan menggalakkan pembelian berulang.
“Bertindak secara bersendirian bukan sahaja mahal malah tidak mampan. Untuk mana-mana platform e-dagang membiayai penambahbaikan infrastruktur dan perkhidmatan secara bersendirian—terutamanya dalam aspek seperti AI, logistik, pencegahan penipuan, dan sokongan pelanggan—memerlukan pelaburan yang besar.
"Jika platform tidak dapat membuat pelaburan semula akibat tekanan harga atau ketidakpastian dasar, keseluruhan ekosistem penjual akan terjejas dalam jangka masa panjang,” katanya.
Tambah Alvin, MAMBA percaya bahawa pelaburan bersama antara penjual dan platform ini akhirnya akan membuahkan hasil.
Menurut syarikat data dan analitik GlobalData, pasaran e-dagang Malaysia dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 8.5 peratus antara 2024 dan 2028, mencecah RM67.1 bilion (AS$14.7 bilion) menjelang tahun 2028.
Unjuran ini menekankan potensi jangka panjang pasaran digital dan kepentingan untuk kekal kompetitif melalui pelaburan semula dan inovasi.
Pada masa yang sama, MAMBA turut mengulangi kepentingan menyeimbangkan keperluan PMKS dengan jangkaan pelanggan yang semakin meningkat.
Alvin berkata, pengalaman pembeli yang buruk antaranya disebabkan kelewatan, salah faham atau kurang ketelusan mempunyai kesan langsung terhadap prestasi penjual, penilaian dan pulangan.
“Itulah sebabnya kritikan menyeluruh terhadap platform e-dagang mungkin tidak membantu.
"Tindakan mendesak pihak berkuasa untuk menghukum platform semata-mata kerana menaikkan yuran adalah tidak membina dan berisiko melemahkan ekosistem yang sedang kita usahakan untuk kukuhkan," katanya.
Beliau berkata, MAMBA turut menyeru agar dialog terbuka diadakan antara kerajaan, platform dan persatuan penjual bagi merangka hala tuju yang mampan dan inklusif, demi memastikan PMKS Malaysia terus berkembang maju walaupun berdepan tekanan global yang semakin meningkat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
