Kajian perbandingan sistem pelantikan hakim dilaksana tingkat ketelusan

Datuk Seri Azalina Othman Said. Foto Bernama
Datuk Seri Azalina Othman Said. Foto Bernama
A
A
A

 

 

SHAH ALAM - Kerajaan melaksanakan kajian perbandingan sistem pelantikan kehakiman bagi meningkatkan ketelusan dalam prosedur pelantikan Hakim Mahkamah Atasan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia termasuk memberi kejelasan yang lebih baik mengenai peranan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Menurutnya, pada masa sama dapat menangani sebahagian isu yang turut dibangkitkan oleh Badan Peguam Malaysia.

"Berhubung dengan ‘Walk to Safeguard Judicial Independence’ oleh Badan Peguam Malaysia, Kerajaan Madani mengambil maklum akan kebimbangan yang dibangkitkan dan menegaskan komitmen untuk menangani isu ini secara bertanggungjawab serta telus, berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh itu, pada minggu lalu kerajaan Madani telah mengumumkan pelaksanaan kajian perbandingan sistem pelantikan kehakiman.

"Kajian itu dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) secara bersama-sama dengan Jawatankuasa Pilihan Khas dari Dewan Negara dan Dewan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, sebahagian besar ahli Majlis Peguam Malaysia berhimpun di hadapan Istana Kehakiman pada Isnin bagi menyertai Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman (Walk to Safeguard Judicial Independence) yang bermula sekitar jam 2 petang.

Artikel Berkaitan:

Perarakan tersebut bertujuan menyerahkan memorandum empat tuntutan kepada Pejabat Perdana Menteri melibatkan isu kebebasan dan integriti badan kehakiman negara.

Tambah Azalina, ia membuktikan kerajaan sentiasa terbuka kepada pandangan semua pihak.

"Badan Peguam Malaysia juga akan dijemput menyertai kajian ini bagi memastikan sistem pelantikan hakim yang lebih telus, berintegriti dan diyakini rakyat.

"Selain itu isu-isu yang dibangkitkan oleh Badan Peguam Malaysia wajar dilihat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 [Akta 695] dan undang-undang lain yang berkuat kuasa.

"Justeru, kerajaan menyeru agar semua pihak untuk terus menghormati peranan dan proses perlembagaan yang menjadi teras kepada kebebasan badan kehakiman negara," jelasnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!