'Sudah ada mekanisme jelas tangani salah laku hakim' - Azalina

SHAH ALAM – Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan mekanisme yang jelas dalam menangani salah laku hakim, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menurut beliau, antara peruntukan utama adalah Perkara 125(3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat dakwaan salah laku terhadap hakim.
Tambah beliau, hakim yang disiasat juga boleh digantung tugas atas nasihat Perdana Menteri setelah berbincang dengan Ketua Hakim Negara.
"Selain itu, Perkara 125(3A) memperuntukkan kuasa kepada Ketua Hakim Negara untuk merujuk sebarang pelanggaran etika kepada Jawatankuasa Etika Kehakiman.
“Manakala Perkara 125(3B) pula membolehkan penetapan kod etika bertulis bagi menetapkan piawaian tinggi kelakuan dan integriti hakim," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Azalina berkata, 'Judges’ Code of Ethics 2009 [P.U.(B) 201/2009], yang telah berkuat kuasa sejak 1 Julai 2009, turut menjadi rujukan penting untuk menetapkan standard tingkah laku hakim secara jelas dan berlandaskan undang-undang.
“Kerangka etika ini bertujuan memastikan badan kehakiman bebas daripada sebarang pengaruh politik atau luaran, sekali gus menjamin keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.
Tambah Azalina, perkara itu juga bermaksud bahawa Badan Eksekutif dan Badan Legislatif tidak boleh campur tangan dalam isu berkaitan etika kehakiman.
“Kebebasan ini penting bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

