Mesyuarat Majlis Raja-Raja hari ini jadi tumpuan

SHAH ALAM - Isu kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan dijangka menjadi tumpuan dalam perbincangan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 yang akan bersidang hari ini hingga 17 Julai.
Kedua-dua jawatan tertinggi dalam badan kehakiman negara itu kini menjadi perhatian selepas penyandangnya, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, masing-masing telah mencapai usia persaraan wajib 66 tahun pada 2 dan 3 Julai lalu.
Dalam konteks ini, Mesyuarat Majlis Raja-Raja memainkan peranan penting bagi memberi perkenan terhadap pelantikan individu yang layak ke jawatan tersebut.
Di bawah Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong melantik Ketua Hakim Negara atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Perkara sama terpakai bagi pelantikan Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
Proses ini menandakan bahawa Majlis Raja-Raja bukan sahaja berperanan sebagai simbol perpaduan negara, malah turut menjadi elemen semak dan imbang dalam pelantikan jawatan tinggi kehakiman.
Pada masa yang sama, pemilihan calon yang berintegriti juga menjadi antara persoalan penting bagi isu berkenaan.
Penganalisis Politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, peranan Majlis Raja-Raja Melayu berbalik kepada Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan, di mana keputusan pelantikan berkenaan hanya boleh dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan kepada nasihat Perdana Menteri.
Ujarnya, sudah pasti Yang di-Pertuan Agong mengambil kira semua pandangan dari pelbagai sudut sebelum membuat sesuatu keputusan.

“Apabila dikatakan (perbincangan) dibawa kepada Majlis Raja-Raja, Mesyuarat Majlis Raja-Raja mungkin akan membincangkan isu-isu semasa termasuk soal integriti.
“Mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, (semasa rundingan) Majlis Raja-Raja boleh memberikan pandangan dan maklum balas, sebelum keputusan dibuat.
“Pada saya, apa sahaja keputusan perlu dibuat berteraskan kepada Perlembagaan yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, perundingan Majlis Raja-Raja dan maklum balas orang awam secara umum,” katanya kepada Sinar Harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

