X

Kindly register in order to view this article
!

Politik orang Cina Malaysia ibarat pendulum

Wee Ka Siong
A
A

PRESIDEN MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong terpaksa memimpin parti memperjuangkan kemerdekaan yang sudah berusia 71 tahun itu dalam keadaan yang cukup getir selepas Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 hampir dua tahun lalu.

Bagaimanapun, selepas 22 bulan berada dalam blok pembangkang, MCA kini kembali sebagai kerajaan susulan daripada gelora politik yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan mengalami kehancuran dua minggu lepas.

Ka Siong menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri Pengangkutan adalah satu takdir ketika beliau sudah berasa selesa sebagai pembangkang.

Dalam wawancara selama satu jam 16 minit bersama Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin dan Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian, Ong Boon Teck, Ka Siong berjanji untuk mengembalikan sokongan masyarakat Cina kepada MCA dan kerajaan selain menyelesaikan pelbagai masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

Bagaimana MCA boleh terlibat dengan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN)?

Saya rasa pembentukan kerajaan PN ini adalah sesuatu yang tidak dirancang. Kita dapat melihat setelah Pakatan Harapan (PH) memerintah sepanjang tempoh 22 bulan dan beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) yang dijalankan, nampaknya Barisan Nasional (BN) yang jadi pembangkang ketika itu mendapat kemenangan.

Bermula daripada PRK Rantau, Tanjung Piai dan Kimanis, saya rasakan ini adalah satu pemangkin terhadap apa yang telah berlaku pada hari ini.

Rata-rata rakyat sudah jemu dengan kata-kata dan janji manis. Mereka mahu kerajaan lakukan sesuatu supaya masalah mereka dapat didengar dan diatasi oleh kerajaan.

Jadi apabila ekspektasi kepada kerajaan pada masa itu semakin tinggi dan rakyat meluahkan perasaan tidak puas hati, akhirnya ia telah diterjemahkan dalam bentuk undi kepada pembangkang ketika itu.

Bagaimana dengan reaksi masyarakat Cina?

Nampaknya, di semua PDM (Pusat Daerah Mengundi) yang kita tewas (pada PRU14) kita menang dengan sokongan berlipat ganda.

Itu yang menyebabkan kita sudah dapat mengetahui suhu politik ini, denyutan nadi rakyat: macam mana masyarakat pelbagai kaum melihat kerajaan.

Kerajaan PH runtuh apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan pada 24 Februari. Itu menjadi satu titik tolak bagi sejarah politik Malaysia apabila seorang Perdana Menteri meletak jawatan.

Keesokan hari, parti bersekutu PH iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada PH. Ini membuktikan kerajaan yang dibentuk dan diberi mandat sudah runtuh.

Jadi soal rampasan kuasa ini tidak wujud. Mungkin ada orang bertanya berapa lama konspirasi ini? Ini bukan konspirasi. Ini memang percaturan dalaman, mereka sudah lama bergaduh dan itulah kemuncaknya.

Daripada perspektif MCA, puncanya ialah parti Amanah dan DAP bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tan Sri Muhyiddin dengan rakan-rakan dalam BN atau Muafakat Nasional di samping PBS.

Dari segi realiti politiknya ketika itu, wakil Cina di sebelah PH ramai tapi di sebelah Perikatan Nasional (PN) sebaliknya. Jadi nak buat macam mana?

We Ka Siong (tiga dari kanan) ketika diwawancara Sinar Ahad di pejabatnya kelmarin.
We Ka Siong (tiga dari kanan) ketika diwawancara Sinar Ahad di pejabatnya kelmarin.

Ini realiti politik. Dahulu suara saya adalah minoriti kerana saya tinggal di kampung Melayu.

Di kampung saya, cuma ada empat keluarga Cina, dikelilingi beratus keluarga Melayu tapi saya dijaga baik kerana kita saling menghormati dan kita nak jadikan Malaysia ini lebih harmoni. Jadi MCA kena buat keputusan.

Takkan saya nak gelar Lim Guan Eng sebagai rakan seperjuangan saya, kami memang jauh berbeza hala tuju perjuangan. Oleh itu, MCA buat keputusan untuk bersama dengan BN dan BN pula dalam konteks Muafakat Nasional sebelum ini. Kita bersatu dalam semua PRK dan kita menang. Apabila ada solidariti dalam pembangkang masa itu, maka kita bagi secara ‘en bloc’ kepada Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri apabila Dr Mahathir sendiri meletak jawatan.

Jadi kenapa MCA terlibat dengan PN, bagi saya bukan sahaja kebetulan tetapi kita tahu bahawa pihak PH selama ini 22 bulan lalu memang terumbang-ambing.

Kerajaan PH yang jatuh dianggotai oleh DAP. Apakah terdapat sebarang perbezaan antara MCA dan DAP?

Saya tertarik wawancara Dr Mahathir dengan Sinar Harian, beliau ada menyebut MCA. Saya cuma hendak kata MCA adalah parti yang memperjuangkan kemerdekaan.

MCA adalah parti pertama yang bekerjasama dengan kaum Melayu dan India dan apabila landskap politik berubah, walaupun apa sekali pun dalam masa zaman susah, zaman kemuncak kita dapat kemenangan besar. Kita sama-sama melalui proses itu. Bagi saya, misi MCA kita faham apa yang penting adalah keharmonian kaum. Tidak guna kita menang sorak kampung tergadai. Bagi kita dalam masyarakat majmuk kita kena lihat itu.

Jadi sebab itu orang kata dulu bila DAP jadi pembangkang tiap-tiap hari (mereka) bantai MCA. Mereka berdepan dengan situasi dalam kerajaan, mereka tidak berani dan terus diam. Bagi saya, MCA adalah parti yang walaupun keanggotaannya Cina, tapi DNA kita sejak penubuhannya oleh Tun Tan Cheng Lock sudah kata We serve for all Malayans iaitu matlamat kita untuk membantu semua orang Malaya ketika itu.

Saya nampak apa yang berlaku semasa kerajaan PH ialah hubungan kaum yang renggang, saya sakit hati. Dulu kalau ada orang kata parti ini dengan parti itu bekerjasama dianggap sebagai ‘taliban’.

Perkataan ini di kampung saya, saya tidak berani pakai. Mana boleh wakil rakyat gunakan perkataan ‘celaka’, tidak boleh menyakitkan hati orang. Macam mana boleh gunakan perkataan, kalau bekerjasama dengan parti ini, ‘malapetaka’. Kalau kedua-duanya bekerjasama, mereka akan isytiharkan perang terhadap kaum bukan Islam.

Ayat ini tidak pernah digunakan oleh parti MCA, sebab itu persepsi mereka dulu dia anggap MCA memang lemah, bukan lemah! Kita tidak sampai hati dan mulut kena jaga.

Saya mahu beritahu, MCA walaupun keanggotaan kita adalah Cina tetapi pendekatan kita adalah untuk semua rakyat Malaysia.

Kita tidak boleh mengagung-agungkan kehendak kita sahaja, biarlah berdasarkan perlembagaan dan konsep kesederhanaan serta kepelbagaian. Sebab itu saya kata, MCA apabila kita berdepan dengan masyarakat nanti kita faham. Apabila saya jadi menteri, pihak pembangkang tiba-tiba kata saya tidak gunakan bahasa Malaysia (dalam status di Facebook).

Eh, sayalah orang pertama pada pukul 7.01 sebelum masuk Maghrib saya tulis sendiri, selepas 10, 12 minit barulah terjemahan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Cina (dimuat naik).

Tapi mereka nak orang Melayu marah Wee Ka Siong, tiba-tiba buat viral kononnya kata saya tidak boleh berbahasa Melayu. Kalau orang tidak kenal saya, mungkin tidak tahu saya boleh berbahasa Melayu. Saya sejak kecil di kampung saya lebih selesa berbahasa Melayu.

Sebab itu ramai kata Wee Ka Siong, kamu ini macam belajar di sekolah kebangsaan, tetapi saya daripada sekolah Cina. Tapi macam mana saya belajar, saya masuk rumah orang Melayu, belajar macam mana nak buat pantun dan puisi.

Saya selalu masuk pertandingan perbahasan di sekolah dan saya tanya kawan-kawan Melayu, mereka tolong saya. Malahan saya dulu ada kumpulan belajar kaum Melayu datang rumah saya belajar.

Saya mengambil iktibar atas apa yang berlaku. Saya pesan kepada pemimpin MCA, mereka mesti menjadi pemimpin yang bagus dan patuh perlembagaan. Walaupun dalam isu-isu tertentu mungkin kita ada pandangan lain, kita cari apa masalah kita dan macam mana nak cari penyelesaian.

Kalau 60 tahun kita boleh buat secara bersama, kenapa sekarang tidak boleh? Tidak eloklah mereka kritik Perdana Menteri dalam Facebook dan sampai memaki hamun Raja dan Sultan kita. Itu sudah bahaya, kalau buat macam ini orang Melayu akan marah.

Adakah Datuk Seri yakin masyarakat Cina akan kembali menyokong MCA selepas kembali menjadi kerajaan?

Saya dapat merasai denyutan nadi daripada rakyat khususnya masyarakat Cina terutama pada PRK Tanjung Piai. Setelah dimainkan sentimen yang mana selepas kerajaan ini diambil alih, nampaknya ia sudah mulai pulih.

Walaupun Red Bean Army (kumpulan media sosial pembangkang) macam-macam (siarkan) maki hamun, tapi saya rasa dalam politik ini kita sudah biasa dengan tindakan mereka.

Saya akan cuba sedaya upaya buat apa yang terbaik untuk meyakinkan masyarakat Cina. Saya kata pada masyarakat Cina, Perdana Menteri telah melantik kedua-dua wakil rakyat MCA dalam Kabinet iaitu saya dan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Saya rasa inilah usaha Muhyiddin memajmukkan barisan Kabinet kita.

Datuk Seri menjadi Presiden MCA, mengambil alih daripada Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika MCA berada di paras yang paling rendah dalam sejarah dengan satu kerusi di Parlimen, sedangkan beberapa puluh tahun sebelum itu MCA pernah mencapai 30 kerusi di Parlimen tahun 1995, tahun 1999 dengan 28 kerusi tetapi pada 2018 jatuh ke satu kerusi. Apakah yang Datuk Seri nampak daripada perubahan itu?

Bagi saya zaman kita (kuat) pada tahun 1990-an, kegemilangan kita pada 2004.

Jika kita hendak kembalikan kegemilangan itu, MCA perlu bekerja lebih kuat lagi.

Ia bukan melihat semata-mata prestasi MCA tetapi prestasi dan juga misi kerajaan. Bagi masyarakat Cina, saya beri contoh dua perkara yang diberi penekanan iaitu peluang ekonomi dan kedua, soal pendidikan.

Malaysia ini sangat unik, kita ucapkan terima kasih, walaupun selama ini ada kata-kata daripada pihak sebelah sana termasuk yang jadi pembangkang sekarang, selalu cakap nak hapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) kalau BN menang tetapi hakikatnya bukankah semasa BN, kita yang mulakan sistem ini, kita kekalkan selama 61 tahun, tak masuk akal lah.

Apabila saya berceramah di Tanjung Piai dulu, dia (pembangkang) kata jangan biar BN menang, Wee Jeck Seng menang nanti sekolah Cina terus tutup. Bila dia main sentimen ini, dia tak pergi jauh, tak selesai masalah.

Betul, di Malaysia penguasaan bahasa Melayu lemah dalam kalangan orang Cina dan India, saya setuju kita memperkasakan, kita kena cari kaedah. Kalau boleh saya nak semua orang boleh bertutur bahasa Malaysia dengan baik, jangan ada pelat.

Persaingan politik masyarakat Cina di Malaysia adalah persaingan antara MCA dan DAP. Pada PRU14, DAP ada 42 kerusi, MCA hanya tinggal satu kerusi saja. Kenapa DAP jadi begitu tinggi dan MCA begitu rendah?

Pertama, sejak 2008 terdapat satu usaha yang direncanakan oleh DAP iaitu menggunakan media sosial. Itu kita kena akui. Cara mereka lebih kepada ala Taiwan, kalau serang seorang pemimpin mereka akan bawa semua konco-konco sekali.

Sampai orang pun akan percaya walaupun itu adalah cerita fitnah. Contohnya, cerita Datuk Seri Liow Tiong Lai difitnah menang dalam pilihan raya kerana kes tutup lampu dan cerita ini sampai ke negara Taiwan.

Saya juga pelik dan terkejut. Jadi kita perlu buat banyak penerangan.

Kedua, MCA kena muhasabah kerana kadangkala apa yang kita buat tidak cukup dan kita salahkan orang.

Ketiga, ialah soal sentimen yang dimainkan. Saya mengaku, MCA tidak seperti DAP dan perkataan digunakan DAP memang kita kalah.

DAP boleh gunakan perkataan seperti ‘taliban’, ‘malapetaka’ dan sebagainya apabila mereka tidak suka tetapi kita tidak sampai hati nak pakai perkataan tersebut. Bagi MCA tak boleh, pantang sama sekali tapi mereka gunakan.

Bagaimana perniagaan dalam kalangan masyarakat Cina sekarang, adakah terjejas teruk?

Masyarakat Cina memang marah dengan PH sampaikan tiada seorang pun kata prestasi perniagaan mereka baik, semua kata teruk. Tiada keputusan, contohnya, keputusan tender dibuat (diubah) dua tiga kali.

Kontraktor bumiputera tidak dapat projek sedangkan barang dibekalkan dari kedai Cina.

Jadi bukan kontraktor Melayu sahaja sengsara, orang Cina pun sengsara juga. Kerana kesan rantaian menyebabkan semua pihak kena kerana kerajaan PH lengah-lengahkan dan laga-lagakan penjawat awam itulah kesannya.

Ka Siong (tiga dari kanan) bergambar bersama barisan pengarang kanan Sinar Harian. Turut kelihatan Baharom (dua dari kanan) dan Ong Boon Teck (empat dari kiri).
Ka Siong (tiga dari kanan) bergambar bersama barisan pengarang kanan Sinar Harian. Turut kelihatan Baharom (dua dari kanan) dan Ong Boon Teck (empat dari kiri).

Sama seperti ahli majlis pihak berkuasa tempatan, bergaduh sesama sendiri berebut kontrak. Apabila tidak dapat, akhirnya mereka ambil keputusan untuk hancurkan. Ini yang menyebabkan keadaan jadi kucar-kacir. Sebab itu, masyarakat Cina merayu supaya kerajaan buat kerja, pulihkan ekonomi ketika PH masih lagi jadi kerajaan.

Adakah Datuk Seri melihat sentimen politik masyarakat Cina akan dapat bertahan sehingga PRU15?

Masyarakat Cina ini macam pendulum, boleh swing. Saya bagi contoh, masyarakat Cina di Kampung Baru di kawasan Wee Jeck Seng sokongan dulu 30 peratus, kali ini 65 peratus. Dia punya perubahan besar, ketara sebab marah.

Sebab itu saya kata, kita boleh menang dan kita juga boleh kalah pada penggal berikutnya. Bagi kita, kita lakukan yang terbaik. Apa yang penting ialah soal kepentingan rakyat.

Sekarang ini kos sara hidup adalah cabaran besar, macam-macam menanti kita. Biarlah siapa yang hendak fitnah dia boleh buat, akhirnya kita yang berfikiran waras dapat membezakan apa yang betul dan yang tidak betul.

Dalam tempoh hampir dua tahun lepas, Malaysia menyaksikan perubahan politik: satu perubahan semasa PRU-14, kemudian berlaku lagi perubahan peralihan kerajaan dua minggu lepas. Perubahan politik itu berlaku secara aman. Apakah yang Datuk Seri boleh gambarkan?

Saya berasa kagum melihat sistem demokrasi di Malaysia ini yang subur. Walau apa pun orang cakap, saya amat bangga kerana kita tidak perlu berperang atau tidak berlaku pertumpahan darah untuk membolehkan peralihan kuasa ini.

Saya kagum kerana demokrasi kita sudah matang di mana yang kalah, mereka menerima dengan hati terbuka. Walaupun pedih, bukan mudah hendak menerima kekalahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini. Memang hakikatnya rakyat tidak sokong kita, maka kita hormati keputusan rakyat.

Sebaliknya, apabila orang memberikan mandat kepada PH untuk mereka memerintah, tiba-tiba selepas 22 bulan sistem yang sama juga digunakan iaitu sesiapa yang mendapat sokongan sekurang-kurangnya 112 ahli Parlimen, maka beliau akan menjadi Perdana Menteri dan inilah sistem kita yang tidak perlu dipertikaikan kesahihannya.

Sebelum ini, kumpulan yang sama melakukannya (peralihan kuasa) di Perak. Di Perak, BN mendapat majoriti kalau bergabung dengan pihak lain. Kemudian di Sabah, Ketua Menteri BN telah angkat sumpah tetapi beberapa ADUN daripada BN melompat parti sekali gus majoriti berubah.

Kalau itu tidak dianggap rampasan kuasa, tidak dianggap pintu belakang, apakah kali ini dengan menggunakan sistem yang sama, tiba-tiba mereka kata ini kerajaan pintu belakang. Jadi saya rasa ini satu cara mereka (pembangkang) cuba meracuni rakyat kononnya ini adalah satu kerajaan yang tidak sah dan melalui pintu belakang.

Jadi mereka (pembangkang) pernah melakukan perkara yang sama?

Ya. Kalau dulu tidak dianggap pintu depan kenapa tiba-tiba sekarang dianggap pintu belakang. Apakah mereka juga mengutuk tindakan sendiri pada 22 bulan yang lalu. Jawapannya jelas, mereka tak konsisten. Cakap tidak serupa bikin.

Sebelum itu macam-macam mereka kata, melutut minta Tun Dr Mahathir Mohamad teruskan (jadi Perdana Menteri). Bila sampai Istana Negara, cakap lain. Kita terus terang apabila Perdana Menteri letak jawatan, lain cerita. Kalau ada unsur tidak percaya, kita akan sokong Perdana Menteri untuk dia lepasi rintangan itu.

Tapi apabila (Dr Mahathir) sudah letak jawatan bermaksud bebas untuk semua. Kita (BN) cubalah bubar Parlimen tapi kerana kita tidak ada majoriti, tak boleh. Kita tidak boleh berubah pendirian mengikut peredaran masa: 22 bulan yang lalu itu dikira halal tiba-tiba diharamkan waktu ini.

Dengan latar belakang pendidikan dalam bidang pengangkutan dan dengan kelulusan PhD, bagaimanakah Datuk Seri akan memacu hala tuju Kementerian Pengangkutan?

Pertamanya, saya menganggap Kementerian Pengangkutan sebagai sangat strategik kerana pengangkutan adalah keperluan asas. Kita juga cuba untuk pertingkatkan lagi sektor logistik kerana kedudukan Malaysia strategik di rantau ASEAN.

Bagaimana kita boleh memudahkan akses dengan negara jiran dengan cara paling pantas dan ekonomik. Bagaimana kita dapat lakukan integrasi dengan tiga mode pengangkutan iaitu air, darat dan udara.

Hari ini (kelmarin) adalah hari ketiga saya di kementerian dan setiap hari saya dengar pandangan dan apa isu semasa yang saya perlu berdepan. Apa yang perlu kita lakukan sebagai kesinambungan daripada kerajaan terdahulu, kesemua ini berkisarkan perjanjian kita dengan negara lain dan ini kita tidak boleh dipandang remeh.

Saya lihat Tun Dr Ling Liong Sik ialah orang yang membawa pelabuhan Malaysia ke taraf dunia. Saya juga perlu belajar daripada bekas-bekas Menteri Pengangkutan yang terdahulu seperti Tan Sri Kong Cho Ha dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Anthony Loke juga saya tiada masalah. Kita tidak perlu bermusuh dengan penyandang jawatan yang dulu. Yang baik kita terima.

Saya terpaksa tanya pakar-pakar di kementerian, tanya apa cabaran. Apabila kita banyak mendengar, barulah kita dapat buat keputusan yang seimbang.

Kalau tidak, kita secara tergesa-gesa membuat keputusan akhirnya kita tidak dapat membuat konsultasi yang terbaik. Bagi saya pendekatan yang akan diambil adalah mahu meningkatkan sektor logistik di Malaysia, banyak lagi ruang untuk pengangkutan udara, darat mahupun air.

Sebagai contoh, kita lihat industri penerbangan terjejas teruk disebabkan oleh Covid-19. Banyak kesannya. Ini bukan hanya kepada sektor penerbangan tetapi pengusaha hiliran, mereka yang sewa ruang di KLIA dan pemandu teksi, semuanya terlibat. Saya juga ingin melihat sektor perkapalan yang mampu memberikan pendapatan yang tinggi kepada negara termasuk sektor pelancongan.

Jadi banyak lagi isu yang perlu diselesaikan. Ini baru hari ketiga dan saya akan tengok setiap satu. Cabaran paling besar adalah pengangkutan awam.

Saya tahu tentang penutupan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan kini menjadi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Jadi kesannya saya kena tanggung dan saya akan tengok macam mana. Ada banyak rungutan yang kita mahu dengar dan apa penyelesaiannya.

Saya kena bincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian dan pegawai-pegawai saya dan cari cara terbaik demi rakyat.

Adakah Datuk Seri rasa yakin dengan Kabinet sekarang?

Keyakinan itu ada tetapi bagi saya bukan untuk kita menilai sendiri, bukan masuk bakul angkat sendiri. Ekspektasi rakyat, apa yang rakyat harapkan... masalah mereka itu kita kena dengar. Macam mana kita nak selesaikan masalah, ini antara task force yang kita tengah

cari. Walaupun kita tidak terikat dengan apa-apa manifesto tidak bermaksud kita tidak buat apa-apa, mesti ada sesuatu yang kita boleh tawarkan kepada rakyat.

Lihat Pakatan Harapan dulu macam mana, memang tidak boleh. Mereka tukar nama (program yang dilaksanakan kerajaan BN), mansuh tol, selepas itu tidak jadi pula, akhirnya jadi kelam-kabut. Begitu juga dengan isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), mereka kata hendak buat tapi tidak sempat.

Ini helah semua orang tahu, kalau hendak buat kenapa tidak dari mula? Kami juga tidak ada banyak masa, hanya tiga tahun. Saya percaya di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin selaku Perdana Menteri, beliau sudah berpengalaman sebagai Timbalan Perdana Menteri, pernah jadi Menteri Besar, jadi tiada masalah dari segi pengalaman.

Saya tidak mahu dengar selepas ini orang kata, ini kerajaan Melayu Islam. Saya di sini untuk sama-sama membantu Perdana Menteri dan Kabinet untuk menggambarkan kemajmukan Malaysia.

Kita di sini turut memainkan peranan yang penting bagi mencapai kestabilan sosial dan juga kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum. Ini penting. Saya rasa bukan mudah tetapi kita akan menggalas tanggungjawab ini secara berwaspada dan buat yang terbaik untuk negara.

Dan awal-awal lagi Tan Sri Muhyiddin kata dia ialah Perdana Menteri untuk semua. Jadi bagaimana kita mahu menterjemahkan dengan satu tindakan dan kesemua anggota Kabinet dapat mendokong cita-cita itu.

Jadi bagi saya, mungkin suara masyarakat Cina kita boleh bawa tapi cara kita ialah secara harmonis. Saya dilahirkan di kampung Melayu, saya tahu cara kita, kita berbicara tentang isu.

Sistem kita benarkan perbincangan secara dalaman tetapi tidaklah seperti sebelum ini. Masuk Kabinet yang sama tetapi apabila keluar dari pintu (mesyuarat) kita bercakap perkara yang lain. Bagi saya biarlah kita bertengkar di dalam tetapi di luar kita sebagai satu pasukan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!