Remaja buat aksi 'wheelie' berdepan penjara lima tahun

Anggota polis (kiri) melakukan siasatan awal terhadap penunggang motosikal yang ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Ops Samseng Jalanan yang diadakan di sekitar daerah ini pada Ahad.
Anggota polis (kiri) melakukan siasatan awal terhadap penunggang motosikal yang ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Ops Samseng Jalanan yang diadakan di sekitar daerah ini pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Gara-gara menunggang sambil beraksi 'wheelie', seorang remaja ditahan dalam Op Samseng Jalanan di sekitar bandaraya Kuantan di sini pada Ahad.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, remaja berusia 18 tahun yang bekerja sebagai pengangkat barang dari kapal ditahan kira-kira jam 6.56 petang ketika 'beraksi' di Jalan Kuantan-Cherok Paloh di sini.

Menurutnya, penunggang terbabit ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda hingga RM15,000 jika sabit kesalahan.

"Pihak polis menjalankan Op Samseng Jalanan susulan aduan awam tular di media sosial mengenai kegiatan lumba haram dan aksi motosikal berbahaya yang sering berlaku setiap hujung minggu di sekitar bandaraya Kuantan.

"Hasil operasi bermula jam 4 petang hingga 11 malam itu, seramai 65 penunggang dikenakan tindakan dan  sebanyak 194 saman trafik telah dikeluarkan," katanya.

Mohd Adli berkata, kesalahan paling banyak dikesan menggunakan nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi dengan 52 saman diikuti tiada cermin sisi (41 saman) dan ekzos bising (32 saman).

"Turut dikesan kesalahan tidak memiliki lesen memandu (16 saman), pengubahsuaian tidak sah (10 saman) dan selebihnya melibatkan lain-lain kesalahan melibatkan insurans, lesen P, topi keledar, brek dan penunggang bawah umur.

"Dalam operasi itu, sebanyak 24 motosikal telah disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.

Sementara itu, beliau mengingatkan pengguna jalan raya agar tidak memandu atau menunggang secara berbahaya sehingga memudaratkan diri sendiri dan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai, khususnya golongan belia, dinasihatkan agar tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat perlumbaan atau mempamerkan aksi berbahaya.

"Pihak polis akan terus meningkatkan pemantauan dan operasi bersepadu di kawasan berisiko tinggi termasuk laluan Sungai Soi ke Tanjung Lumpur seperti yang telah dilaporkan oleh masyarakat di media sosial," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!