Hampir seminggu tidak ke kebun getah, durian gara-gara gambar seekor harimau

Gambar harimau yang tersebar sehingga menyebabkan penduduk takut untuk kebu masing-masing. Foto: Tular, gambar kecil dari kiri: Bongsu, Mohamad Hafid
Gambar harimau yang tersebar sehingga menyebabkan penduduk takut untuk kebu masing-masing. Foto: Tular, gambar kecil dari kiri: Bongsu, Mohamad Hafid
A
A
A

KUALA KRAI - Penduduk di Blok Kadok, Peria di sini mendakwa hampir seminggu tidak ke kebun getah, durian gara-gara tersebarnya gambar seekor harimau yang dikatakan muncul di kawasan terbabit pada Sabtu lalu.

Penduduk, Bongsu Majid, 72, berkata, kawasan yang dikatakan itu ialah laluan hariannya untuk ke kebun.

"Bila orang kongsi gambar dan info di WhatsApp tentang pak belang, saya serta isteri mula rasa takut.

"Setakat hari ini kami belum lagi ke kebun untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Sebelum ini hanya beruang matahari yang muncul, itu pun kami sudah gerun," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Ujar penoreh itu, sepanjang menetap di sini sejak kecil belum pernah lagi harimau muncul di kawasan mereka.

Sementara itu peniaga kedai kopi, Esah Mamat, 75, berkata, rata-rata pelanggannya memaklumkan ada menerima hantaran gambar mendakwa kehadiran harimau di kawasan kebun.

"Kecoh juga dua tiga hari ini, bila penduduk bimbang hendak keluar menoreh dan ke kebun. Namun mereka tidak dapat memastikan ia benar atau tidak.

"Kata mereka (pelanggan) lihat pada gambar itu seperti bukan di kawasan sini namun mereka memilih berhati-hati untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani ketika dihubungi memaklumkan ia adalah hantaran palsu.

Menurut beliau gambar tersebut dipercayai melibatkan satu kes yang berlaku di negeri ini namun pada Julai 2024.

"Ia berita palsu. Saya berharap orang ramai tidak mudah mempercayai sebarang hantaran yang tidak sahih.

"Seelok-eloknya semak dahulu sebelum membuat sebaran untuk elak panik dalam kalangan penduduk," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!