TKM Pulau Pinang nafi beri arahan halang program wacana ilmu bersama Wan Ji

Laporan Sinar Harian pada Isnin mengenai Wan Ji dakwa dihalang sampaikan kuliah Maghrib di Masjid Sembilang.
Laporan Sinar Harian pada Isnin mengenai Wan Ji dakwa dihalang sampaikan kuliah Maghrib di Masjid Sembilang.
A
A
A

GEORGE TOWN - Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid menafikan pernah mengeluarkan arahan untuk menghalang program wacana ilmu bersama penceramah bebas, Dr Wan Ji Wan Hussin yang diadakan pada Ahad lalu.

Menerusi kenyataan di Facebook, Dr Mohamad yang juga Exco Agama Islam Pulau Pinang berkata, segala urusan berkaitan dengan penceramah adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP).

"Dakwaan kononnya ceramah Ustaz Wan Ji di Masjid Semilang dihalang atas arahan Pejabat TKM1 adalah tidak benar.

"Penjelasan rasmi telah dikeluarkan... Segala urusan berkaitan penceramah adalah di bawah bidang kuasa JHEAIPP dan pentadbiran masjid," katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan, program wacana ilmu bersama penceramah bebas, Dr Wan Ji Wan Hussin yang dijadualkan diadakan di Masjid Sembilang, di sini pada malam Ahad didakwa dibatalkan di saat akhir.

Program yang sepatutnya berlangsung selepas solat Maghrib itu tidak dibenarkan diteruskan oleh pihak pengurusan masjid selepas dipercayai berkaitan dengan isu tauliah.

Menerusi poster program, kuliah Maghrib yang bertajuk iktibar dan kesan konflik pemerintahan Saidina Usman itu dianjurkan Biro Penerangan dan Penerangan Agama (BIPPA) dan Masjid Sembilang.

Dr Wan Ji dalam hantaran di laman Facebook miliknya (Herjunot Ali) berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak penganjur, kuliah Maghrib itu terpaksa dibatalkan kerana dihalang oleh pejabat Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

Bagaimanapun, JHEAIPP dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya mengarahkan program ceramah agama itu dibatalkan selepas didapati dijalankan tanpa kebenaran dan tauliah sah daripada pihak berkuasa agama negeri.

Artikel Berkaitan:

Pengarah JHEAIPP, Marzuki Hassan berkata, arahan pembatalan dibuat selepas pihaknya menerima aduan mengenai penganjuran ceramah yang tidak memenuhi peraturan ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!