Wan Ji dakwa dihalang sampaikan kuliah Maghrib di Masjid Sembilang

SEBERANG JAYA - Program wacana ilmu bersama penceramah bebas, Dr Wan Ji Wan Hussin yang dijadualkan diadakan di Masjid Sembilang, di sini pada malam Ahad didakwa dibatalkan saat akhir.
Program yang sepatutnya berlangsung selepas solat Maghrib itu tidak dibenarkan diteruskan oleh pihak pengurusan masjid selepas dipercayai berkaitan dengan isu tauliah.
Menerusi poster program, kuliah maghrib yang bertajuk iktibar dan kesan konflik pemerintahan Saidina Usman itu dianjurkan Biro Penerangan dan Penerangan Agama (BIPPA) dan Masjid Sembilang.
Dr Wan Ji dalam hantaran di laman Facebook miliknya (Herjunot Ali) berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak penganjur, kuliah Maghrib itu terpaksa dibatalkan kerana dihalang oleh pejabat Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

"Kuliah Maghrib malam ini di masjid Taman Sembilang terpaksa dibatalkan.
"Saya dimaklumkan pihak penganjur, ia dihalang oleh pejabat Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM 1) Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid," katanya pada Ahad.
Bagaimanapun, Dr Mohamad yang juga Exco Agama Islam Negeri Pulau Pinang menafikan dakwaan berkenaan.
"Dakwaan kononnya ceramah Ustaz Wan Ji di Masjid Sembilang dihalang atas arahan Pejabat TKM1 adalah tidak benar.
"Penjelasan rasmi telah dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).
"Segala urusan berkaitan penceramah adalah di bawah bidang kuasa JHEAIPP dan pentadbiran masjid," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
