Sisa plastik haram: Menteri tak wajar tuntut kredit

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A
PUTRAJAYA - Kementerian Alam Sekitar menyifatkan tiada seorang menteri pun boleh menuntut kredit ke atas dirinya atas usaha Malaysia mengembalikan sisa plastik haram kepada negara asal.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, pemulangan bahan buangan plastik itu merupakan tindakan kolektif daripada perkhidmatan awam di beberapa agensi diketuai oleh menteri berbeza yang memudahkan pemulangan sisa plastik tidak sah itu ke negara asal.

"Kerjasama antara agensi ini perlu diteruskan tanpa menghiraukan siapa menteri itu.

"Menurut Konvensyen Basel dan undang-undang domestik, sudah terdapat mekanisme untuk menghantar semula sisa buangan plastik ke negara asal," kata kenyataan itu di sini hari ini.

Kenyataan itu sebagai respons kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng yang menyebut nama bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin atas usahanya memulangkan sisa plastik haram tersebut yang kebanyakannya berasal dari Eropah.

Bagaimanapun kata kenyataan itu, Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menghargai usaha Bee Yin menerajui inisiatif itu dengan kerjasama agensi lain ketika beliau berkhidmat.

Rabu lalu, Tuan Ibrahim pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kementeriannya buat pertama kali mengumumkan bahawa sebanyak 150 kontena sisa plastik dikembalikan ke negara asal dan baki 84 lagi akan dihantar pulang.

"Sebagai kenyataan balas kepada komen Ng dalam sebuah akhbar, yang mengatakan Yeo memulakan sistem memulangkan sisa plastik ke negara asal, Tuan Ibrahim menjelaskan perkara itu sejak hari pertamanya memulakan tugas bahawa beliau akan meneruskan dan memperbaiki semua inisiatif yang baik daripada kerajaan terdahulu.

"Tuan Ibrahim menekankan bahawa menteri bertukar tetapi perkhidmatan awam mempunyai mekanisme memastikan semua inisiatif yang dirancang akan dilaksanakan bagi memastikan tanggungjawab kepada rakyat tidak terjejas,” kata kenyataan itu.
Artikel Berkaitan:


Kabinet Perikatan Nasional (PN) mengangkat sumpah pada Selasa lalu, selepas dua minggu kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan ekoran peletakan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berikutan itu, kumpulan penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Bersatu bergabung dengan Barisan Nasional (BN), Pas, GPS dan kem bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali seterusnya berjaya membentuk kerajaan.