Jumlah graduan perubatan sertai KKM rendah, hanya isi 10 peratus kekosongan

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Penurunan pengisian slot Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) Kementerian Kesihatan (KKM) memberi impak langsung kepada keupayaan sistem untuk membekalkan tenaga kerja yang mencukupi.
KKM memaklumkan, meskipun semua 579 graduan yang memohon telah dilantik, jumlah itu hanya mengisi sekitar 10 peratus daripada kekosongan slot nasional.
"Sehingga Februari 2026, trend nasional bagi kadar pengisian di 48 Hospital Latihan Siswazah (HLS) seluruh negara kini berada pada tahap 53 peratus, iaitu 6,500 slot terisi daripada 12,198 kapasiti.
"KKM memantau rapi trend penurunan jumlah graduan perubatan yang memasuki pasaran kerja, di mana penyusutan ini telah mencetuskan 'reaksi berantai' kepada kadar pengisian perjawatan di fasiliti kesihatan awam," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu KKM menjelaskan, cabaran tersebut merupakan manifestasi isu struktur diwarisi serta ketidakseimbangan agihan tenaga kerja di peringkat nasional yang tberlarutan sekian lama.
"Selaras dengan Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 25 Julai 2025, penempatan PPS adalah bertujuan untuk melengkapkan kompetensi klinikal melalui latihan berstruktur.
"PPS tidak berfungsi sebagai tenaga kerja tambahan untuk mengisi kekosongan perjawatan atau menampung beban perkhidmatan," ujarnya.
Bagi menangani isu berkenaan, KKM berkata, pihaknya sedang melaksanakan beberapa reformasi termasuk menamatkan sistem doktor kontrak secara berfasa, memperkenalkan mandat mobilisasi dan agihan semula pegawai, memperkukuh program latihan siswazah serta menambah baik kebajikan petugas kesihatan.
Selain itu, kementerian turut meningkatkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi bagi menambah unjuran dan penghasilan graduan perubatan, di samping meneroka langkah tambahan melalui libat urus bersama agensi pusat.
"Ini adalah demi memastikan sistem kesihatan awam negara kekal selamat, berkesan dan mampan khususnya di fasiliti yang menanggung beban perkhidmatan yang tinggi," ujarnya.
Ringkasan AI
- KKM menggariskan empat reformasi utama untuk menangani cabaran struktur dan ketidakseimbangan agihan tenaga kerja kesihatan Langkah-langkah yang dilaksanakan termasuk transisi penamatan sistem doktor kontrak secara berfasa, pelaksanaan mandat mobilisasi dan agihan semula petugas, pengukuhan program latihan siswazah serta pemerkasaan kebajikan petugas KKM berkomitmen memastikan kualiti latihan siswazah Pegawai Perubatan Siswazah terpelihara dan menambah baik struktur latihan untuk pendedahan klinikal yang mencukupi KKM mempergiatkan usaha menambah baik insentif kewangan dan kemudahan bagi petugas dengan mobilisasi dan penempatan di kawasan berbeban tinggi atau pedalaman Reformasi dilaksanakan sebagai respons kepada cabaran sumber manusia dari isu struktur lama dan ketidakseimbangan agihan tenaga kerja di peringkat nasional
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

