Sindiket di Kelantan tiru negara jiran sembunyi dadah di sebalik najis ternakan

Mohd Yusoff.
Mohd Yusoff.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan mendedahkan terdapat sindiket dadah di negeri ini yang dipercayai menyembunyikan bekalan dadah di sebalik najis ternakan bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, maklumat itu diperoleh beberapa bulan lalu sebagaimana kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini.

"Saya sudah memaklumkan perkara ini beberapa bulan lalu apabila mereka menggunakan binatang ternakan untuk aktiviti dadah termasuk lembu, kambing serta binatang ternakan lain.

"Kita akan menjalankan pemeriksaan terhadap kemasukan lembu sama ada secara seludup atau sah bagi mengekang kegiatan itu,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Ahad.

Sindiket pengedaran dadah di Kelantan dipercayai meniru taktik penyeludupan yang digunakan rangkaian mereka di negara jiran, khususnya dengan menyembunyikan dadah dalam najis haiwan.

Menurut sumber yang biasa dengan operasi di kawasan sempadan, penggunaan kandang ternakan dan sisa haiwan sebagai tempat menyembunyikan bahan terlarang telah lama menjadi kaedah biasa dalam kalangan pengedar dadah yang beroperasi di kawasan berhampiran sempadan, terutama di wilayah selatan Thailand.

Media tempatan sebelum ini melaporkan kaedah ini digunakan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Penguat kuasa di negara jiran telah lama menyedari taktik ini dan berjaya menggagalkan beberapa cubaan menggunakan kaedah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!