[VIDEO] Suami isteri dalang sindiket dadah RM3.1 juta tumpas di Kelantan
KOTA BHARU - Taktik suami isteri berselindung di sebalik perniagaan ayam segar dan menjadi pemandu e-hailing akhirnya tumpas apabila Polis Kelantan berjaya menghidu perbuatan mereka sebagai dalang sindiket jualan dadah.
Dadah bernilai RM3.1 juta itu dirampas bersama pasangan berusia 31 dan 49 tahun yang ditahan pada jam 4 pagi di Jalan Padang Sembilan, Jalan Kuala Krai-Gua Musang di Kuala Krai pada Jumaat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, mereka ditahan ketika menaiki sebuah kereta jenis Proton X70 dan hasil pemeriksaan telah menjumpai bungkusan plastik berisi tumbuhan kering yang disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 60.8 kilogram (kg).
“Turut ditemui ialah ketulan mampat tumbuhan kering yang disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 6.95kg serta peket plastik lutsinar mengandungi 150 biji pil yaba.

“Kami juga merampas satu kerambit berhulu kayu dengan panjang lebih kurang 15 sentimeter (cm),” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Ahad.
Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan pertama itu ialah RM2.37 juta.
Mohd Yusoff memberitahu, ekoran tangkapan ke atas kedua-dua suspek membawa kepada penemuan barang kes kedua pada hari sama, jam 3.30 petang.

Ujarnya, hasil pemeriksaan di sebuah rumah di Taman Merbau Utama, Selising telah menemukan kotak yang diletakkan di atas lantai hadapan rumah dan di dalam sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail.
Tambah beliau, turut ditemui bungkusan plastik lutsinar yang setiap satunya mengandungi tumbuhan kering mampat disyaki dadah jenis ganja anggaran berat kasar 11.16kg.

“Turut ditemui ialah tumbuhan kering mampat disyaki ganja seberat 9kg di dalam kotak-kotak berwarna merah.
“Kami juga menemui beg plastik hitam yang mengandungi tumbuhan kering mampat disyaki ganja seberat 2kg,” katanya.
Mohd Yusoff memberitahu, nilai keseluruhan rampasan kedua ialah RM775,600.
Beliau berkata, pihaknya juga telah menyita wang tunai RM2,422 dan barangan kemas dengan jumlah keseluruhan RM58,422.
Ujarnya, dadah ini jika berjaya diedarkan mampu merosakkan seramai 89,925 orang yang menggunakannya.

“Dipercayai dadah tersebut dibawa masuk dari negara jiran dan Kelantan menjadi transit sebelum dibawa ke Kuala Lumpur untuk dipasarkan ke luar negara.
“Lelaki terbabit positif methamphetamine manakala wanita negatif air kencing. Mereka berdua mempunyai dua kesalahan lampau berkait kes narkotik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

