Tabung Kasih Pendidikan Amanah bantu biayai pendidikan Putri Qisya

ALOR SETAR – Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah melancarkan Tabung Kasih Pendidikan Amanah Putri Qisya Nur Izzat bagi membiayai pendidikan satu-satunya anak mangsa tragedi kereta terjunam di Sungai Korok, Jitra, yang mengorbankan enam ahli keluarganya termasuk kedua ibu bapanya.
Pengerusi Amanah Kedah, Asmirul Anuar Aris berkata, keputusan melancarkan tabung tersebut dipersetujui sebulat suara dalam Mesyuarat Pengurusan Amanah Kedah pada Rabu, sebagai usaha membantu masa depan pendidikan Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat yang berusia 12 tahun.
Menurutnya, tabung berkenaan diwujudkan bagi mengumpul dana daripada ahli-ahli parti dan orang ramai yang akan disalurkan sepenuhnya ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Putri Qisya untuk kegunaan pendidikan pada masa akan datang.
“Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyumbang RM5,000 sebagai permulaan, diikuti sumbangan RM1,000 daripada Pengurusan Amanah Kedah dan RM1,000 daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurut Asmirul, tabung itu akan digerakkan mulai 9 hingga 30 Julai, dengan menggunakan seluruh instrumen parti di semua peringkat termasuk cawangan, kawasan, sayap parti dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di seluruh negeri.
“Sebuah Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi memastikan kutipan tabung itu berjalan lancar, diketuai oleh Naib Pengerusi III Amanah Kedah, Saedi Azizan bersama Ketua Amanah kawasan Jerlun, Othman Shafie sebagai Pengerusi Bersama,” ujarnya.
Sebelum itu, seusai mesyuarat pengurusan negeri, Asmirul bersama pimpinan Amanah negeri telah mengunjungi Putri Qisya di rumah ibu saudaranya di Jitra bagi menzahirkan rasa simpati dan memberikan sokongan moral kepada kanak-kanak itu.
“Perasaan hiba menyelubungi kami apabila melihat Putri Qisya yang tetap tabah berdepan ujian besar ini, tutur katanya cukup matang dan menggambarkan ketabahan seorang anak kecil yang baru berusia 12 tahun,” katanya.
Menurutnya lagi, datuk kepada Putri Qisya, Allahyarham Ishak Ismail merupakan sahabat baik kepada Mohamad Sabu dan juga kenalan lama keluarga itu.
“Semasa kunjungan itu, Mohamad sempat berbual dengan nenek dan Putri Qisya melalui panggilan telefon untuk memberikan kata-kata semangat,” katanya.
Asmirul berharap usaha kecil yang dilaksanakan ini dapat meringankan beban keluarga berkenaan selain memastikan Putri Qisya dapat meneruskan pengajiannya dengan baik sebagai mengenang jasa kedua ibu bapanya.
Menurutnya, orang ramai yang ingin menyumbang ke dalam tabung tersebut masih berpeluang berbuat demikian sehingga akhir bulan ini sebelum serahan dilakukan.
“Ketabahan adik Qisya mengharungi kehidupan ini amat besar, ia menjadi motivasi terbesar buat kita semua agar sentiasa kental meneruskan kehidupan.
“Tergambar didikan agama di sebalik kata-katanya yang matang ketika berbicara, jauh berbeza dengan umurnya.
“Namun, ALLAH SWT sayangkan ahli keluarganya, pemergian mereka diringi doa oleh orang ramai dari seluruh negara,” katanya.
Dalam kejadian Sabtu lepas, kereta Proton Iswara dinaiki enam sekeluarga itu dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Korok di Kampung Kemboja.
Ibu bapa Putri Qisya, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat adik-beradiknya iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan Tuah Haydar, enam bulan, ditemukan maut pada pagi Isnin.
Kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad pada Isnin lalu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Karang, Jerlun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

