'Luluh hati saya lihat ketabahan luar biasa adik Qisya' - Sanusi

JITRA – “Luluh hati saya melihat dugaan besar menimpa adik Putri Qisya Nur Izzat. Dalam usia muda, kehilangan seluruh keluarga tercinta sekelip mata, dia memiliki ketabahan luar biasa.”
Demikian luahan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas menziarahi Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim, 12, yang kini bergelar yatim piatu selepas kedua-dua ibu bapanya bersama empat adik-beradik maut dalam tragedi lemas di Sungai Korok, Jitra pada Sabtu.
Lawatan ziarah tersebut turut disertai isteri beliau, Tok Puan Jusmalailani Jusoh di rumah ibu saudara Putri Qisya di Taman Sri Aman, Jitra, pada Selasa.
Menurut Sanusi, biarpun diuji dengan kehilangan besar, terpancar ketabahan luar biasa pada wajah anak kecil itu yang seolah-olah sedang belajar menerima hakikat sebuah kehilangan.
“Saya harap masa depan Qisya terjamin walaupun tanpa ibu dan ayah di sisi. Dia masih ada nenek dan keluarga lain yang akan menjaganya, mereka lebih berhak menentukan masa depannya.
“Kita semua hanya membantu setakat mampu dan berharap dia akan dapat pengganti yang lebih baik dalam hidup yang bakal dilalui nanti. Walaupun dia berdepan saat memeritkan ketiadaan ibu bapa, harap dia tabah,” katanya.
Sanusi berkata, pelbagai pihak telah tampil menghulurkan sumbangan kepada Qisya termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dalam usaha memastikan kebajikan anak yatim piatu itu terpelihara.
“Terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan tampil membantu. Pelbagai bantuan yang diterima menunjukkan masyarakat kita prihatin dengan tragedi seumpama ini. Doa, tenaga dan sumbangan anda amat bermakna dalam saat getir ini,” katanya.
Beliau turut mengajak orang ramai untuk sama-sama mendoakan agar Putri Qisya terus diberikan kekuatan, ketabahan hati serta kasih sayang yang tidak putus daripada insan-insan di sekelilingnya.
“Moga dia membesar menjadi anak solehah yang akan terus menyalurkan pahala buat roh ibu dan ayahnya yang telah pergi mendahului,” katanya.
Dalam tragedi awal pagi Sabtu lalu, pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, bersama empat anak mereka iaitu Putra Rayyan, 9; Hawa Adriana, 8; Annayla Humaira, 7; dan bayi lelaki, Tuah Haydar, 6 bulan, maut selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam Sungai Korok.
Kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad pada Isnin lalu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Karang, Jerlun.
Kejadian itu mengundang rasa sebak dalam kalangan masyarakat yang turut menzahirkan simpati serta doa agar anak sulung pasangan itu diberikan kekuatan menghadapi ujian berat berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

