Projek tenaga hijau lonjak potensi Terengganu ke pentas dunia

HULU TERENGGANU – Projek Loji Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS) dan Hab Hidrogen Hijau yang dilaksanakan di Terengganu dijangka menjadi pemangkin kepada agenda peralihan tenaga negara serta melonjakkan kedudukan negeri itu sebagai hab tenaga bersih serantau.
Inisiatif ini merupakan kerjasama antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Terengganu Inc, selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR).
Majlis pelancaran projek berkenaan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud, Tasik Kenyir, pada Sabtu.
Perdana Menteri dalam ucapannya menyambut baik pelaksanaan projek berkenaan yang disifatkan mampu mengubah landskap tenaga negara serta menarik lebih ramai pelabur strategik ke Malaysia.
Beliau turut menekankan kepentingan memastikan manfaat projek besar itu turut dinikmati oleh penduduk setempat, khususnya generasi muda di Kuala Berang dan Terengganu.
"Saya minta supaya ada usaha khusus daripada TNB dan Petronas, bersama kementerian-kementerian berkaitan seperti Kementerian Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Sumber Manusia serta Kerajaan Negeri Terengganu, untuk mengadakan beberapa program latihan khas.
"Saya mahu pastikan supaya anak Kuala Berang sendiri dipilih untuk diberi latihan. Projek besar di sini tidak seharusnya menyaksikan anak-anak kita hanya membuka restoran kecil atau menjadi tukang pembersih. Itu penting, tetapi eloklah dirancang satu kuota khas supaya mereka turut dilatih dan diberi peluang.
"Saya harap perkara ini dapat disegerakan," katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta barisan kepimpinan tertinggi syarikat-syarikat terlibat.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, berkata projek HHFS Kenyir merupakan sebahagian daripada inisiatif solar-hidro hibrid berkapasiti 2.5 gigawatt (GW) bagi memaksimumkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui.
"Loji hidro ini turut berfungsi sebagai sistem simpanan tenaga fleksibel yang menyimpan air pada waktu puncak dan melepaskannya pada waktu luar puncak bagi menstabilkan grid nasional.
"Kerjasama strategik ini menjadi tunjang kepada usaha penyahkarbonan dan menyokong aspirasi negara di bawah NETR dan HETR,” katanya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz pula berkata, sinergi antara Petronas dan TNB akan membentuk ekosistem tenaga yang mampan serta memacu daya saing negara dalam sektor tenaga hijau.
"Kerjasama ini menggabungkan kekuatan Petronas dalam sektor minyak dan gas serta kepakaran TNB dalam bidang utiliti tenaga.
"Dengan kemudahan sedia ada seperti elektroliser hidrogen, loji derivatif serta fasiliti penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di Kertih, projek ini bakal menyokong perdagangan tenaga rentas sempadan dan pengukuhan Grid Kuasa ASEAN," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, menyatakan keyakinan bahawa projek ini mampu meletakkan Terengganu sebagai peneraju tenaga hijau di Malaysia.
"Dengan sokongan Petronas dan TNB, Terengganu mampu menarik pelaburan strategik serta membuka peluang ekonomi baharu kepada rakyat tempatan.
"Sebagai cabang pelaburan negeri, kami komited memastikan pemindahan teknologi, pembangunan bakat serta kejayaan projek ini dapat dicapai,” katanya.
Hab Hidrogen Hijau yang akan dibangunkan dalam Koridor Kenyir–Kertih dijangka menjadi projek berskala besar pertama seumpamanya di Malaysia.
Ia merangkumi penjanaan tenaga boleh diperbaharui, pengeluaran hidrogen hijau serta derivatif seperti metanol dan ammonia hijau, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri tenaga global.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
