Projek sungai tiruan bernilai RM300 juta di Kemaman dijangka siap 2031

KUALA TERENGGANU - Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kemaman bagi mengatasi masalah banjir bernilai RM300 juta dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2031.
Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, projek mega yang diluluskan kerajaan Persekutuan itu masih di peringkat prapelaksanaan dan akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia.
"Projek ini merupakan antara langkah jangka panjang kerajaan bagi mengatasi isu banjir serius di daerah Kemaman, khususnya di kawasan Cukai yang sering terjejas saban tahun.
"Ia juga bertujuan untuk mengurangkan kerosakan harta benda dan melindungi nyawa penduduk yang terkesan setiap kali musim tengkujuh," katanya ketika menjawab soalan Mohd Hafiz Adam (Pas - Air Putih) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman di sini pada Isnin.
Menurut Hanafiah, antara komponen utama projek tersebut ialah pembinaan sungai tiruan sepanjang lapan hingga sembilan kilometer (km) dari kawasan Paman ke Tasik Bungkus, Ibok.
"Objektif utama projek ini adalah untuk mengurangkan kawasan takungan banjir yang menjadi punca utama limpahan air setiap kali hujan lebat melanda," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata projek berkenaan akan dilaksanakan secara kaedah reka dan bina, dengan penilaian kontraktor kini sedang dijalankan oleh JPS Malaysia.
"Surat setuju terima kepada kontraktor yang berjaya dijangka akan dikeluarkan pada Disember 2025, manakala tempoh pelaksanaan keseluruhan projek ditetapkan selama lima tahun," katanya.
Hanafiah berkata, projek berimpak tinggi itu merupakan antara usaha strategik kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat di daerah Kemaman sentiasa terjamin, selain menyokong pembangunan yang lebih lestari dan selamat daripada bencana alam.
"Ini membuktikan komitmen kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menangani isu banjir secara menyeluruh, bukan sekadar penyelesaian sementara tetapi jangka panjang demi kemakmuran penduduk setempat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
