Tujuh projek tenaga Petra siap, manfaat lebih 60,000 pengguna di Sabah dan Labuan

Fadillah ketika melawat stesen PMU Kota Kinabalu di Tanjung Aru, Kota Kinabalu.
Fadillah ketika melawat stesen PMU Kota Kinabalu di Tanjung Aru, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak tujuh projek tenaga yang dilaksanakan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dengan nilai keseluruhan melebihi RM260 juta telah berjaya disiapkan, memberikan manfaat kepada lebih 60,434 pengguna di Sabah dan Labuan yang kini menikmati bekalan elektrik lebih stabil dan efisien.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Petra, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek tersebut melibatkan naik taraf pencawang, sambungan talian grid baharu dan sistem pemantauan keselamatan, meliputi kawasan dari Tanjung Aru hingga ke Ranau, Batu Sapi dan Labuan.

Antara projek utama ialah Pencawang Masuk Utama (PMU) 132/33kV Kota Kinabalu (KKBU) di bawah Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES), yang kini memberi manfaat kepada kira-kira 11,452 pengguna di Tanjung Aru dan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

“Projek ini menggantikan sistem lama 66/11kV yang telah lapuk dengan sistem baharu menggunakan kelengkapan suis berpenebat gas (GIS) 132kV dan 33kV serta transformer 132/33/11kV. Ia turut menyokong pembinaan jajaran kabel 33kV ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik ke kawasan strategik tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan projek kepada Kerajaan Negeri Sabah pada Isnin.

Projek kedua, Sambungtara 132kV Labuan–Sipitang (Fasa 1: Naik taraf PMU Beaufort ke 275kV – Pakej 2) bernilai RM34.92 juta, melibatkan pembinaan menara talian 275kV sepanjang 7 kilometer dari PMU Mengalong ke sempadan Sindumin, Sabah, menuju ke Lawas, Sarawak.

“Projek ini siap sepenuhnya pada 2 September 2024 dan kini menunggu penyempurnaan sambungan oleh pihak Sarawak Energy yang dijangka selesai September ini. Ia bakal membolehkan 30MW tenaga diimport dari Sarawak ke Sipitang, dan grid ini direka untuk membawa kapasiti sehingga 500MW, menjadikannya sebahagian daripada jaringan utama ASEAN Power Grid,” katanya.

Seterusnya, Projek Pembahagi Utama (PPU) 33/11kV Ranau bernilai RM31.3 juta telah mula beroperasi pada 11 Januari 2024 dan siap sepenuhnya pada 15 Mac 2024. Ia menyambungkan kawasan Ranau ke grid elektrik Sabah, mengurangkan kebergantungan kepada stesen janakuasa diesel berkapasiti 18MW dan memberi manfaat kepada 15,620 pengguna.

Sementara itu, Projek PPU Batu Sapi bernilai RM30.02 juta mula beroperasi pada 13 Disember 2024, meningkatkan keberkesanan agihan kuasa dari Stesen Janakuasa Batu Sapi ke kawasan sekitar Bandar Sandakan, termasuk Karamunting, Bokara dan Kampung Istimewa, memberi manfaat kepada kira-kira 4,744 pengguna.

Projek Protection On-Line Monitoring pula menelan kos RM42 juta dan melibatkan kerja-kerja komunikasi serta penaiktarafan sistem perlindungan dengan pemasangan kabel gentian optik dasar laut sepanjang 15 kilometer dari Kampung Lambidan, Menumbok ke Tanjung Aru, Labuan, yang siap pada 5 Februari 2024.

Artikel Berkaitan:

Bagi Projek PMU 132/33/11kV Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula, bernilai RM50.011 juta, ia mula beroperasi sepenuhnya pada 12 Ogos 2024, meningkatkan kapasiti beban dari 93.51MW kepada 131.60MW di kawasan UMS. Ia juga mengurangkan indeks gangguan bekalan (SAIDI) di kawasan Sulaman dan Alamesra, memberi manfaat kepada lebih 5,000 pengguna termasuk Hospital UMS.

Projek terakhir, Sistem Pengukuhan 11kV Labuan bernilai RM6.3 juta, telah siap pada 9 November 2024. Ia melibatkan kerja menaik taraf sistem perlindungan di PPU Rancha-Rancha serta meningkatkan keupayaan sistem bagi menyokong pembangunan baharu di kawasan Labuan.

“Kesemua projek ini membuktikan komitmen kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh infrastruktur tenaga di Sabah dan Labuan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat,” kata Fadillah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!