Jabatan perlu perkukuh saringan, etika banteras rasuah

SHAH ALAM – Setiap jabatan disarankan memperkukuhkan sistem saringan, bimbingan etika dan pengawasan dalaman sebagai langkah strategik membanteras gejala rasuah dalam pasukan.
Pengerusi Gerakan Belia 4B Pulau Pinang, Mohamad Nazri Abdul Latiff, berkata tumpuan khusus perlu diberikan kepada pegawai muda di pelbagai jabatan agar nilai integriti dan akauntabiliti dapat dipupuk sejak awal perkhidmatan.
Menurutnya, pendekatan pencegahan melalui pembentukan budaya kerja beretika adalah lebih berkesan dan mampan berbanding sekadar tindakan disiplin selepas sesuatu kes berlaku.
“Pegawai muda sering menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab kerana kurang pengalaman. Justeru, mereka memerlukan panduan jelas dan pengawasan ketat dalam melaksanakan tugas.
“Budaya integriti ini tidak boleh disemai secara paksaan, tetapi perlu dibentuk melalui bimbingan konsisten, kepimpinan berwibawa dan sistem pemantauan yang telus,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, seorang pegawai polis yang bertugas di sebuah balai di Kedah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM2,000 daripada seorang tahanan sebagai balasan untuk melepaskannya daripada jaminan polis.
Perintah reman selama tiga hari sehingga 12 Julai 2025 terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Noor Fazlina Musa selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sungai Petani, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 30-an itu ditahan kira-kira jam 11 pagi semalam di balai tempat beliau bertugas.
Tambah Mohamad Nazri, pegawai muda seperti itu masih dalam kategori belia – satu kelompok yang sepatutnya menjadi agen pembaharuan dan teladan kepada masyarakat.
“Namun, tindakan yang disyaki dilakukan ini amat mengecewakan serta memberi gambaran jelas bahawa krisis integriti kini sedang meresap dalam institusi teras negara, bahkan dalam kalangan generasi muda.
“Kita tidak boleh memandang ringan apabila anak muda yang baru memulakan kerjaya dalam pasukan beruniform sudah terjebak dengan amalan rasuah.
“Jika tidak dibendung segera, ia akan membawa implikasi jangka panjang terhadap kewibawaan institusi penguat kuasa serta membunuh keyakinan rakyat terhadap keadilan dan keselamatan negara,” katanya.
Jelasnya lagi, Gerakan Belia 4B Negeri Pulau Pinang menyokong penuh tindakan SPRM serta menyeru agar siasatan dan pendakwaan dilakukan secara telus dan menyeluruh.
Ujarnya, pada masa yang sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memperkukuhkan sistem saringan, bimbingan etika dan pengawasan dalaman, khususnya terhadap pegawai muda, agar budaya integriti dipupuk sejak awal.
“Rasuah bukan sahaja jenayah, ia adalah pengkhianatan terhadap amanah dan masa depan negara.
“Belia harus diperkasa sebagai barisan hadapan menentang rasuah, bukan terpalit dalam kancahnya,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

