Dua kumpulan berhimpun di Cherok Tok Kun

BUKIT MERTAJAM – Dua kumpulan dengan pandangan berbeza terhadap kepimpinan kerajaan berhimpun secara aman di Jalan Kulim, Cherok Tok Kun di sini pada Jumaat.
Perhimpunan yang diadakan berhampiran kediaman keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu membabitkan kira-kira 150 orang daripada kumpulan penyokong Anwar dan 50 orang yang sebaliknya.
Kumpulan pertama disertai 25 badan bukan kerajaan (NGO) pro-Kerajaan Madani manakala kumpulan kedua membabitkan penyokong Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi Sekretariat Bara Juang, Khairul Ishak berkata, selain menyeru orang ramai agar terus menyokong kepimpinan Anwar, tujuan mereka berhimpun adalah untuk memastikan kediaman keluarga Anwar tidak diganggu oleh kumpulan penyokong PN.
"Selain memohon orang ramai terus menyokong Anwar dalam usaha membaik pulih ekonomi negara dan mengekalkan kestabilan politik, tujuan perhimpunan ini adalah untuk menghalang kumpulan ini daripada terus mengganggu kediaman PM kita.
"Apa yang kami tahu, mereka mahu mengadakan perhimpunan 'Turun Anwar' di kediaman keluarga Anwar.
"Tindakan mereka ini sudah melampau kerana membabitkan hal peribadi Anwar. Padahal mereka tahu abang kepada Anwar yang tinggal di kediaman itu berada dalam keadaan kurang sihat," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon dan Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi yang juga ADUN Pantai Jerejak, Fahmi Zainol.
Mengulas lanjut, Khairul berkata, rakyat perlu memberi ruang kepada Anwar untuk meneruskan dasar-dasar reformasi yang sedang dijalankan.
“Kerajaan hari ini sedang berusaha memulihkan keadaan negara selepas pelbagai ketidaktentuan politik dan krisis ekonomi yang melanda sebelum ini.
"Janganlah kita cepat menuding jari sebelum melihat hasilnya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Bagaimanapun, satu lagi kumpulan yang disertai penyokong PN turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap beberapa keputusan kerajaan yang dianggap tidak mesra rakyat.
Kedua-dua perhimpunan dikawal rapi oleh pihak polis bagi memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku selain memastikan kedua-dua kumpulan mematuhi arahan yang ditetapkan.
Perhimpunan yang mengambil masa sejam setengah itu berakhir pada jam 6.30 petang tanpa sebarang tangkapan atau insiden yang tidak diingini berlaku.
Kedua-dua kumpulan didapati memberikan kerjasama penuh dan bersurai mengikut masa yang telah ditetapkan oleh pihak polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

