Covid-19: Dua acara besar pelancongan Terengganu ditangguh

Kerajaan Terengganu menangguhkan penganjuran dua acara besar dalam kalendar pelancongan Terengganu yang dijadualkan dalam masa terdekat sebagai langkah pencegahan penularan jangkitan koronavirus (Covid-19). Gambar hiasan.
Kerajaan Terengganu menangguhkan penganjuran dua acara besar dalam kalendar pelancongan Terengganu yang dijadualkan dalam masa terdekat sebagai langkah pencegahan penularan jangkitan koronavirus (Covid-19). Gambar hiasan.
A
A
A

CHUKAI - Kerajaan Terengganu menangguhkan penganjuran dua acara besar dalam kalendar pelancongan Terengganu yang dijadualkan dalam masa terdekat sebagai langkah pencegahan penularan jangkitan koronavirus (Covid-19).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, dua acara itu ialah 'Conference On Digital Technology 2020' (DIGIT 2020) yang dijadualkan pada 17 hingga 19 Mac dan 'Bike Week' pada 27 hingga 29 Mac ini.

Bagaimanapun katanya, pada masa sama Terengganu masih mengalu-alukan kedatangan pelancong domestik untuk melawat pulau, pantai dan pelbagai tempat menarik di seluruh negeri sempena cuti persekolahan.

"Susulan arahan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, program atau perhimpunan yang melibatkan lebih 100 pengunjung terpaksa ditangguhkan atas nasihat dan panduan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

"Jadi kami akan tangguhkan dahulu dua program ini sehingga suasana reda dan tarikh penganjuran semula akan diumumkan pada satu masa nanti," katanya kepada pemberita selepas program Demonstrasi Langkah Pencegahan Covid-19 di Resort World Kijal di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ab Rasid Jusoh.

Dalam pada itu Ariffin berkata, pihaknya juga telah merangka pelan pakej rangsangan pelancongan negeri bagi menangani kemerosotan pengunjung akibat penularan jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, antara strategi yang diatur termasuk meningkatkan aktiviti promosi, fokus pelancongan domestik dan pemberian insentif kepada pelancong yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH ada insentif untuk pelancong yang datang ke Terengganu tetapi saya belum boleh sebut sebelum diluluskan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

"Ini adalah usaha untuk meningkatkan jumlah pelancong kerana kita tidak nafikan berlaku kemerosotan akibat penularan jangkitan Covid-19," katanya. - Bernama