SPRM, IACA jalin kerjasama tangani rasuah global

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memeterai kerjasama dengan International Anti-Corruption Academy (IACA) bagi meneroka peluang baharu, khususnya dalam pembangunan kapasiti dan keupayaan dalam bidang pencegahan rasuah di peringkat antarabangsa.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, menerusi kerjasama melalui pemeteraian Surat Niat (LOI) ini, SPRM dan IACA dapat berganding bahu memanfaatkan kepakaran masing-masing.
“Saya percaya hubungan kerjasama antarabangsa dalam bidang pencegahan rasuah bukan lagi bersifat pilihan, sebaliknya perlu dilihat sebagai satu keutamaan.

"Revolusi perkembangan teknologi dunia dari semasa ke semasa turut membawa kepada perubahan baharu, termasuk wujudnya cabaran rasuah rentas negara, jenayah kewangan yang semakin kompleks dan ancaman digital yang semakin canggih.
“Disebabkan perkembangan yang kompleks ini, tiada agensi atau negara yang mampu berdiri sendiri,” katanya pada Majlis Menandatangani LOI antara SPRM dan IACA di sini pada Khamis.
Turut hadir, Penasihat IACA, Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Dekan IACA, Profesor Slagjana Taseva; serta Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar.
Tambah Azam, pihaknya yakin bahawa LOI ini akan membuka peluang baharu kepada pegawai SPRM dan rakan serantau untuk meraih manfaat daripada kepakaran global, sumber akademik serta rangkaian tenaga profesional IACA.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
