[VIDEO] CEO Batu didakwa lagi, kali ini kes simpan bahan lucah
SELAYANG – Pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai 'CEO Batu' mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan menyimpan video dan gambar lucah dalam telefon bimbit miliknya, dua bulan lalu.
‘CEO Batu’ atau nama sebenarnya, Muhamad Iqbal Muhamad Nor, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chai Guan Hock.
“Tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” kata tertuduh.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyimpan bahan lucah dalam galeri telefon bimbit miliknya ketika berada di pejabat pegawai penyiasat, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Gombak, pada jam 11.39 pagi, 22 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Birr Zamier Abu Bakar mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Namun, peguam Nabil Ashraff Ridzuan memohon mahkamah menetapkan jaminan pada kadar minimum kerana anak guamnya mengalami masalah saraf selepas terlibat dalam kemalangan.
“Pendapatan Muhamad Iqbal sebagai pempengaruh media sosial turut terjejas kerana kes ini menyebabkan banyak kontraknya ditamatkan.
“Dia juga membantu menyara ibu bapa serta empat adik-beradik lain, termasuk datuk dan nenek yang mempunyai masalah kesihatan,” katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, Muhammad Zulhaniff Mohamed Anas.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Chai Guan Hock membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 30 September depan.
Terdahulu, pada Khamis, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan iaitu melakukan amang seksual bukan fizikal dengan menunjukkan kemaluannya kepada seorang remaja perempuan berusia 13 tahun pada Mei lalu.
Sebelum ini, tular di media sosial beberapa tangkap layar mesej berbaur lucah yang didakwa dihantar oleh pempengaruh berkenaan kepada remaja bawah umur tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

