Kastam rampas dadah bernilai lebih RM4 juta

PUTRAJAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas pelbagai jenis dadah seberat 33.588 kilogram yang bernilai RM4,124,173 dalam tiga kes berasingan baru-baru ini.
Penolong Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) JKDM, Raizam Setapa @ Mustapha berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan dan operasi Cawangan Narkotik, Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JKDM.
"Kes pertama, kita menyita sebuah bagasi yang tidak dituntut di Balai Ketibaan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada jam 5 petang, 18 Februari lalu.
"Hasil pemeriksaan, kita menjumpai 8,138 gram dadah jenis methamphetamine disorok dalam lapan kotak, nilai anggaran sitaan tersebut berjumlah RM268,323," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Raizam berkata, kes kedua, pihaknya merampas dua bungkusan plastik berisi dadah dipercayai untuk pasaran luar melalui laluan laut dalam serbuan di kawasan Pasir Penambang, Kuala Selangor pada jam 3 pagi, 27 Februari lalu.
"Kita merampas methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 9,150 gram, 10,650 gram kokain dan 1,250 biji pil Erimin 5 dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3,683,050," jelasnya.
Menurutnya, serbuan ketiga pula, JKDM menyerbu sebuah syarikat kurier di Sepang, Selangor, pada jam 1 petang, 28 Februari lalu.
“Pemeriksaan terhadap sebuah kotak kayu menemui 5,400 gram Methamphetamine bernilai RM172,800 dipercayai untuk dihantar ke luar negara melalui laluan udara," ujarnya.
Beliau berkata, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Orang ramai diseru membantu Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam memerangi jenayah penyeludupan khususkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.
"Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat. Identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
