Penduduk Kampung Sungai Baru rancang protes awam bantah pengambilan tanah

Penduduk Kampung Sungai Baru akan mengadakan satu protes awam pada Jumaat ini.
Penduduk Kampung Sungai Baru akan mengadakan satu protes awam pada Jumaat ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Penduduk Kampung Sungai Baru akan mengadakan satu protes awam pada Jumaat ini bagi membantah tindakan kerajaan yang didakwa mengambil tanah milik mereka secara paksa di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.

Protes tersebut dijadualkan berlangsung pada 11 Julai 2025, jam 2 petang, sejurus selepas solat Jumaat yang mana perarakan bermula dari Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru dan berakhir di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Jalan Sultan Ismail.

Pengerusi Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, Zainab Alias mendakwa, pengambilan paksa tanah oleh kerajaan sejak tahun 2021 dilakukan atas desakan pihak pemaju dan telah mengetepikan hak serta suara penduduk yang tidak bersetuju dengan terma dan syarat pembangunan ditawarkan.

“Pihak kerajaan mengabaikan proses rundingan dan terus menggunakan kaedah rampasan paksa, menafikan hak pemilik tanah. Ini bukan tindakan yang adil atau saksama,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas beliau, Seksyen 3(1)(c) Akta Pengambilan Tanah 1960 yang digunakan dalam rampasan tanah tersebut adalah satu peruntukan undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan dan bersifat menindas.

“Malah, kami turut membantah cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk merampas hartanah tanpa persetujuan pemilik. Akta ini wajar dikaji semula,” tambah beliau.

Zainab berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mengenai hasrat mengadakan protes ini bagi tujuan kawalan lalu lintas dan pemantauan keselamatan.

“Kami menyeru semua pihak termasuk orang ramai, badan bukan kerajaan, aktivis, organisasi dan parti politik yang prihatin untuk turut serta menyokong protes aman ini. Ia bukan sekadar perjuangan kami, tetapi demi hak setiap rakyat Malaysia terhadap pemilikan hartanah,” katanya.

Protes yang dirancang itu akan dijalankan secara aman dan tertakluk kepada hak berhimpun secara aman seperti yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!