1,600 hektar tanah rizab Melayu belum diganti - Amirudin

SHAH ALAM – Lebih 1,600 hektar tanah rizab Melayu di Selangor didapati tidak digantikan, dengan sebahagian besarnya telah dinyahwartakan sejak zaman penjajahan British sebelum negara mencapai kemerdekaan.
Perkara itu didedahkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika menjawab pertanyaan usul Penyata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,440 hektar telah dikenal pasti oleh Jabatan Audit Negara menerusi Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021 dan 2022.
“Sebanyak 1,440 hektar tanah ini telah dinyahwartakan oleh kerajaan penjajah sebelum merdeka lagi.
“Jadi, ia bukan dilakukan oleh kerajaan negeri sekarang, namun kesannya tetap dirasai hari ini kerana ia belum digantikan,” ujarnya.
Jelasnya, isu penggantian tanah itu perlu dilakukan dengan teliti kerana ia membabitkan kawasan yang luas serta boleh memberi kesan terhadap pembangunan di daerah-daerah tertentu.
“Sebagai contoh, satu tapak tanah yang perlu diganti mungkin bersamaan separuh atau suku daerah.
“Kita (kerajaan Selangor) tidak boleh ganti sewenang-wenangnya kerana ia bukan isu mudah,” katanya.
Tambah Amirudin, hanya 200 hektar tanah masih berbaki untuk diganti, melibatkan antaranya projek pembinaan loji rawatan air terbesar di negeri ini dengan kapasiti 1,400 juta liter sehari (MLD).
“Daripada jumlah itu, hanya 10 hektar telah digantikan pada tahun 2024, manakala sebanyak 16.8 hektar lagi akan digantikan di daerah Gombak hujung tahun ini atau awal tahun depan,” ujarnya.
Amirudin memaklumkan, pada tahun 2023, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan 32 hektar tanah di Gombak yang sedang diuruskan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak bagi tujuan penggantian.
Menurutnya, keputusan menggantikan tanah telah pun diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), namun prosesnya memakan masa lama kerana perlu mengikut prosedur undang-undang dan Kanun Tanah Negara.
Ujarnya, inovasi dalam perundangan perlu diteroka bagi mempercepatkan proses penggantian, khususnya apabila ia turut melibatkan projek-projek strategik seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Kita tidak boleh tangguh terlalu lama kerana jika tangguh, kos akan meningkat dan kita juga akan gagal mencapai sasaran 20 hingga 25 peratus rizab tanah menjelang 2030,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

