Kurang kefahaman syariah jejas agihan pusaka – Timbalan KM Pulau Pinang

Mohamad (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada asnaf pada Program Literasi Syariah Madani 2025.
Mohamad (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada asnaf pada Program Literasi Syariah Madani 2025.
A
A
A

BALIK PULAU – Isu pengurusan harta pusaka umat Islam di Pulau Pinang dilihat semakin meruncing apabila berdepan pelbagai cabaran termasuk harta beku, pertikaian antara waris serta kelewatan dalam urusan pembahagian pusaka.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, keadaan ini berpunca daripada kurangnya pemahaman dalam kalangan masyarakat terhadap instrumen pengurusan harta menurut undang-undang syariah yang telah tersedia dalam sistem perundangan Islam.

Menurutnya, antara instrumen yang boleh dimanfaatkan ialah wakaf, hibah dan wasiat sebagaimana digariskan dalam Seksyen 61, Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Negeri Pulau Pinang Tahun 2004, yang memperuntukkan bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah.

“Wakaf, contohnya, merupakan satu bentuk sedekah jariah yang bukan sahaja memberi ganjaran berterusan kepada pewakaf, bahkan dapat dimanfaatkan oleh komuniti.

“Jika diurus secara profesional, aset wakaf boleh menjadi sumber pembangunan sosioekonomi yang mampan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Literasi Syariah Madani 2025 di sini, pada Khamis.

Tambah beliau, konsep wakaf ini juga sejajar dengan teras pembangunan dalam Agenda Pembangunan Agama Islam (APAI) 2030 yang memberi penekanan kepada pengurusan strategik sumber kekayaan umat Islam.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, instrumen hibah pula memberi peluang kepada pemilik harta mengagihkan harta semasa hayat, sekali gus mengelakkan pertikaian dalam kalangan waris selepas kematian.

“Wasiat juga memberi ruang kepada pewasiat menyatakan hasrat untuk mengagihkan sebahagian harta kepada bukan waris atau tujuan kebajikan, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh syarak,” katanya.

Tegasnya, ketiga-tiga instrumen ini merupakan kaedah yang sah dari sudut hukum syarak dan amat penting dalam memastikan pengurusan serta pengagihan harta dilakukan secara adil dan teratur mengikut undang-undang Islam.

Artikel Berkaitan:

“Tanpa kefahaman yang jelas terhadap undang-undang dan hukum syarak, masyarakat Islam mudah terdedah kepada salah faham, penipuan, konflik keluarga dan pembaziran harta,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa literasi syariah bukan lagi satu pilihan tetapi menjadi keperluan asas dalam membentuk masyarakat Islam yang celik hak dan tanggungjawab, selain menghayati nilai-nilai Madani seperti keadilan, akauntabiliti dan kesejahteraan sejagat.

“Saya amat berharap program seperti ini dapat menjadi platform menyebarluaskan ilmu yang benar, membetulkan persepsi yang salah dan membimbing masyarakat untuk merancang masa depan harta mereka dengan lebih bertanggungjawab serta berlandaskan syarak.

“Kerajaan Pulau Pinang komited untuk terus menyokong usaha memperkasa ilmu dan literasi syariah demi kesejahteraan umat dan kelestarian pembangunan ummah di negeri ini.

“Ini selaras dengan visi Penang2030 dalam mewujudkan sebuah negeri pintar dan hijau yang berteraskan keluarga sebagai inspirasi negara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!