Pulau Pinang berdepan tekanan ekonomi susulan tarif AS

GEORGE TOWN - Keputusan Amerika Syarikat mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan dari Malaysia menimbulkan kebimbangan besar khususnya terhadap ekonomi Pulau Pinang yang merupakan antara penyumbang utama kepada eksport negara ke negara kuasa besar itu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang menyumbang 55 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia ke Amerika Syarikat bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, dengan jumlah dagangan mencecah RM52 bilion.
Menurutnya, sebahagian besar eksport itu datang daripada syarikat multinasional Amerika Syarikat yang beroperasi di negeri ini, terutama melibatkan penghantaran produk siap atau komponen ke syarikat induk mereka di luar negara.
“Sebanyak 77 peratus daripada jumlah eksport itu terdiri daripada mesin dan peralatan elektrik, yang sebahagian besarnya dipacu oleh industri semikonduktor.
"Walaupun semikonduktor masih dikecualikan daripada tarif buat masa ini, pelaksanaan tarif 25 peratus secara menyeluruh tetap membawa risiko kepada ekonomi negeri ini,” katanya.
Kon Yeow berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sukuk di sini pada Selasa.
Tambah beliau, tarif berkenaan dijangka memberi kesan besar kepada ekonomi Pulau Pinang yang sangat bergantung kepada eksport dan berperanan penting dalam rantaian bekalan global.
“Perbezaan kadar tarif antara negara-negara ASEAN juga boleh menyebabkan ketidakseimbangan dalam perdagangan serantau dan mungkin mempengaruhi keputusan pelaburan pada masa akan datang,” katanya.
Sehubungan itu, Kon Yeow menggesa kerajaan Persekutuan supaya terus mengadakan rundingan dengan pihak Amerika Syarikat bagi menilai semula kadar tarif tersebut, selain memberi perhatian terhadap dasar dan halangan perdagangan bukan tarif yang lain.
“Pulau Pinang akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan dan pemain industri bagi mempertahankan kepentingan ekonomi negara.
"Kerajaan negeri juga komited dalam usaha menambah baik infrastruktur, mempermudah urusan perniagaan serta mengurangkan kos menjalankan perniagaan,” ujarnya.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan Pulau Pinang kekal sebagai hab utama dalam rantaian bekalan global dan mampu menghadapi cabaran ekonomi jangka panjang.
Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan tarif import sebanyak 25 peratus akan dikenakan terhadap Malaysia bermula 1 Ogos ini.
Trump berkata, langkah itu perlu diambil untuk 'melindungi industri tempatan Amerika Syarikat' daripada apa yang beliau sifatkan sebagai amalan perdagangan tidak adil oleh beberapa negara.
Antara negara yang akan menghadapi tarif 25 peratus ialah Jepun, Korea Selatan, Tunisia, Kazakhstan manakala kadar lebih tinggi akan dikenakan terhadap negara lain iaitu Afrika Selatan dan Bosnia & Herzegovina (30 peratus), Serbia dan Bangladesh (35 peratus), Kemboja dan Thailand (36 peratus) serta sehingga 40 peratus untuk Laos dan Myanmar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

