Hakim Mahkamah Persekutuan ketuai reformasi perundangan maritim

PUTRAJAYA - Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk P Nallini mengetuai Jawatankuasa Semakan dan Pembaharuan Undang-Undang Maritim Malaysia (MLRCC) bagi menyemak serta melaksanakan kajian pembaharuan serta penggubalan undang-undang maritim secara berfasa.
Beliau sebagai Pengerusi MLRCC akan dibantu oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Ong Chee Kwan yang bertindak sebagai Timbalan Pengerusi serta 21 ahli jawatankuasa tetap merangkumi wakil kementerian, jabatan, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, pengamal undang-undang, ahli akademik, agensi penguatkuasaan, wakil industri serta bekas pegawai kanan kerajaan.
Bagi memperkukuh kepakaran teknikal, lapan orang pakar 'ad hoc' turut dilantik merangkumi bidang perkapalan, operasi pelabuhan, latihan maritim dan undang-undang perkapalan antarabangsa.
Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi satu kenyataan memaklumkan, jawatankuasa yang baru ditubuhkan secara rasmi pada Khamis merupakan langkah strategik bagi memperkasa landskap perundangan sektor maritim negara selaras dengan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Ikhtiar 10: Reformasi Perundangan dan Institusi dalam pembentangan Belanjawan 2025.
"Penubuhan jawatankuasa ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk membina sistem perundangan maritim negara yang moden, progresif dan responsif terhadap landskap perdagangan laut yang semakin kompleks," menurut kenyataan itu.
Menurut MOT, Malaysia sebagai negara perdagangan yang bergantung kepada sektor perkapalan dan pelabuhan di mana 94.6 peratus dagangan negara adalah melalui laut memerlukan undang-undang maritim yang cekap, relevan dan selari dengan amalan antarabangsa.
"MLRCC turut diberikan mandat menyemak dan mengesyorkan penambahbaikan terhadap undang-undang maritim di bawah bidang kuasa Kementerian dan agensi lain, memandangkan sistem perundangan maritim negara bersifat polisentrik," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, fasa pertama tugasan Jawatankuasa MLRRC akan memberikan tumpuan kepada enam instrumen perundangan utama iaitu Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 [Ord. 70/1952] ;Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 (Sabah) [Ord. No. 11/1960] ; Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 (Sarawak) [Ord. No. 2/1960] ; Akta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang 1955 [Akta 140] ; Akta Lembaga Pelabuhan 1963 [Akta 488] dan Akta (Penswastaan) Pelabuhan 1990 [Akta 422].
"Pelaksanaan semakan dan pembaharuan undang-undang ini akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga tahun hadapan, seiring dengan Dasar Pengangkutan Negara serta menyokong agenda reformasi perundangan maritim negara ke arah sebuah sistem yang lebih mampan, inklusif dan dinamik.
"MOT kekal komited untuk terus memperkukuh tadbir urus dan kerangka perundangan maritim demi menjamin daya saing industri perkapalan negara di peringkat serantau dan global," menurut MOT.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

