Satu demi satu kes seksual di negara ini dibongkarkan

SEJAUH manakah kebimbangan jenayah seksual dalam negara? Satu demi satu kes berjaya dibongkar pihak berkuasa negara melibatkan aktiviti penyebaran, memiliki serta menjual kandungan lucah termasuk Bahan Penderaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM).
Antara kes yang menggemparkan negara ialah serbuan Op Pedo Bersepadu pada Disember tahun lepas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Seramai 13 suspek ditahan di Lembah Klang, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan itu.
Operasi itu menemui peranti yang digunakan mengandungi kira-kira 40,000 CSAM dan bahan pornografi dewasa.
Kemudian tular pula kumpulan Facebook dikenali sebagai ‘Grup Budak-Budak Sekolah Rendah’ yang dikatakan menyebarkan gambar remaja perempuan tidak senonoh.
Lebih menggemparkan apabila polis menahan pasangan suami isteri di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor baru-baru ini yang terlibat aktiviti pelacuran dan penjualan video seks di aplikasi sosial.
Bukan itu sahaja, beberapa kes seksual sebelum ini juga dilaporkan membabitkan siasatan terhadap golongan selebriti serta penceramah bebas.
Tahun lalu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dilaporkan berkata, SKMM telah menyekat 549 laman sesawang bersifat lucah dan bersifat sumbang.
Malah, paparan kandungan lucah ringan dilihat semakin berani dihasilkan di media sosial. Bukan sahaja content dari luar negara, malah dalam negara sendiri.
Pengguna media sosial hari ini terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan sekiranya lewat diambil tindakan, bimbang ia akan dinormalisasikan.
Akhbar ini menerusi laporan eksklusif pada Februari lalu juga melaporkan aplikasi media sosial dan cari cinta (dating apps) dikesan digunakan penjenayah seksual untuk berkenalan hingga menjerat mangsa terutama kanak-kanak.
Statistik dikeluarkan PDRM mencatatkan 633 kes pada tahun lalu membabitkan pelbagai aplikasi sosial.
Terdapat juga enam kes direkodkan membabitkan kes seksual melalui perkenalan di permainan dalam talian (online game).
Justeru, usaha membanteras kegiatan ini perlu terus dipergiatkan lagi dengan kerjasama semua pihak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
