Bila nafsu pendakwah lebih serakah daripada Walid, Hot Daddy

SEMALAM Merak Jalanan hampir tersedak air kopi waktu sarapan.
Semuanya kerana berita seorang penceramah bebas ditahan polis kerana menyebarkan video seks membabitkan isteri-isterinya sendiri dan beberapa wanita lain.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, satu laporan polis telah dibuat isteri kedua kepada penceramah tersebut pada 16 Jun lalu.
Menurutnya, wanita itu mendakwa suaminya telah menyebarkan video seks yang melibatkan dirinya, madunya serta beberapa wanita lain.
Cuba bayangkan, insan yang sering muncul dengan jubah dan serban, petah bertazkirah tentang aurat dan akhlak mulia...Rupa-rupanya menyimpan koleksi aib dalam telefon ibarat arkib rasmi maksiat.
Ini bukan lagi kes hipokrit biasa atau ‘ustaz gatal’. Ini kategori watak penunggang agama terkemuka dalam siri drama televisyen masa kini, Walid yang bergabung dengan watak 'Hot Daddy' versi dakwah, dengan perilaku ekstra bonus - berselindung di balik kesucian hadis dan kalam al-Quran.
Zaman sekarang, bila ada yang menunggang agama untuk syahwat, yang jadi mangsa bukan sekadar wanita-wanita yang dipermainkan. Lebih teruk, nama baik institusi agama itu sendiri menjadi pertikaian.
Lebih pedih apabila golongan seperti ini masih mempunyai pengikut yang sanggup mempertahankan mereka atas nama ‘manusia tidak maksum’.
Aneh dan tragis, dunia akhir zaman ini mempamerkan manusia yang berjubah tapi hatinya penuh nafsu.
Kalau dulu kita takut syaitan bertopengkan manusia. Kini kita patut lebih gusar pada manusia yang bertopengkan agama, tapi bertindak lebih jijik daripada syaitan.
Agama itu suci. Tapi bila disalut dengan kerak hipokrasi dan nafsu binatang, yang tinggal cuma bangkai bertopengkan biji-biji tasbih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
