ASEAN sokong usaha Myanmar tangani sendiri krisis - Mohamad

KUALA LUMPUR - ASEAN akan terus menyokong usaha ke arah penyelesaian aman yang diterajui dan dimiliki Myanmar sendiri dalam menangani krisis di negara itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penyelesaian aman itu penting bagi menamatkan penderitaan yang ditanggung rakyat di negara tersebut.
Selain itu katanya, ASEAN turut menyeru semua pihak berkepentingan turut membuktikan kesungguhan sama.
“Majlis Pentadbiran Negara (SAC) sebagai pihak berkuasa 'de facto' contohnya perlu untuk benar-benar komited ke arah keamanan dan mewujudkan persekitaran kondusif bagi pelaksanaan pilihan raya selaras aspirasi rakyat Myanmar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, ASEAN juga menggesa supaya pengisytiharan gencatan senjata diterjemahkan kepada tindakan yang konkrit.
Ini kerana katanya, kemajuan sebenar di lapangan masih belum dapat keamanan sebenar dikecapi rakyat negara itu.
Sementara itu, beliau dalam masa sama turut mengajak ASEAN supaya terus teguh sebagai tonggak kestabilan serantau, walaupun berdepan ketidaktentuan ekoran cabaran global yang luar biasa.
“ASEAN mesti menjadi suar harapan, suara kewarasan serta terus berperanan sebagai platform kerjasama dan kemakmuran demi rakyat di rantau ini,” katanya.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan,’ menyaksikan 24 mesyuarat peringkat menteri termasuk sesi libat urus bersama Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog Sektoral.
Mesyuarat peringkat tinggi itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 8 hingga 11 Julai, menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan.
Semua Menteri Luar ASEAN hadir kecuali Myanmar yang diwakili pegawai kanan kementerian luarnya manakala Menteri Luar Timor-Leste turut serta sebagai pemerhati.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

