[VIDEO] Penganggur didakwa bunuh 3 ahli keluarga, mohon dibicarakan

A
A
A

MUAR – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Tinggi pada Rabu atas pertuduhan membunuh ibu, bapa dan anak saudaranya di Kampung Paya Redan, Pagoh, di sini pada Ogos tahun lalu.

Tertuduh, Azman Mohamed Nor, 49, yang hadir dalam keadaan berkerusi roda akibat penyakit saraf mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suria Kumar DJ Paul.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh yang masih bujang didakwa membunuh ibu bapanya, Ara Abd Hamid, 76, dan Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, serta anak saudaranya, Noradriana Nor Hasyim, 11.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara jam 1 hingga 3 pagi di sebuah rumah di Jalan Sekolah, Kampung Paya Redan, Pagoh pada 9 Ogos tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika tidak dikenakan hukuman mati.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqiilah Ahmad Rofaie, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan mengemukakan tiga izin kepada mahkamah bagi setiap mangsa dalam kes pembunuhan tersebut.

Nur Aqiilah turut memohon kepada mahkamah agar menetapkan satu tarikh baharu bagi pengurusan kes memandangkan beberapa dokumen termasuk gambar tempat kejadian masih belum lengkap sepenuhnya.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Ogos ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam bagi tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, Azman kini sedang menjalani hukuman penjara selama sembilan tahun dan denda RM5,000 atas pertuduhan mencederakan seorang lagi anak saudaranya.

Dalam kejadian awal pagi 9 Ogos tahun lalu, sepasang suami isteri warga emas serta cucu perempuan mereka berusia 11 tahun maut selepas rumah mereka hangus terbakar.

Pasangan warga emas itu maut di lokasi kejadian manakala cucu mereka meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.

Insiden tersebut turut menyebabkan seorang lagi cucu perempuan berusia 14 tahun mengalami kecederaan dan dirawat di hospital sama.

Polis yang pada awalnya mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut kemudian menukar siasatan kepada mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh ketiga-tiga mangsa yang maut.

Tertuduh, yang merupakan anak sulung kepada pasangan warga emas tersebut dan melarikan diri semasa kejadian sebelum ditahan lima hari kemudian di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!