MADA sokong tingkat aspek keselamatan jalan raya di Sungai Korok

Jalan yang terletak bersebelahan dengan Sungai Korok sepanjang kira-kira 20 kilometer. Gambar kecil: Ismail
Jalan yang terletak bersebelahan dengan Sungai Korok sepanjang kira-kira 20 kilometer. Gambar kecil: Ismail
A
A
A

JITRA - [DIKEMAS KINI] Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang bertanggungjawab terhadap Sungai Korok menyokong usaha kerajaan meningkatkan aspek keselamatan jalan raya sepanjang sungai berkenaan sekali gus mengurangkan risiko kemalangan.

Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, agensi itu menyambut baik saranan pelbagai pihak meningkatkan tahap keselamatan terutama di lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi.

Menurutnya, langkah itu bertepatan melihat kepada tragedi yang berlaku bukan pertama kali selain kajian dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di mana kawasan berlaku nahas.

“Reka bentuk kawasan ini memang dibuat jalan bersebelahan sungai itu sejauh kira-kira 20 kilometer.

“MADA juga mahu memastikan faktor keselamatan di sini terjamin dengan pemasangan infrastruktur yang boleh mengurangkan risiko kemalangan lebih teruk di kawasan tertentu,” katanya.

Ismail ketika menziarahi keluarga mangsa tragedi Sungai Korok pada Selasa.
Ismail ketika menziarahi keluarga mangsa tragedi Sungai Korok pada Selasa.

Ismail berkata, Sungai Korok berperanan membekalkan sumber air kepada penanaman padi sekitar kawasan tersebut sehingga ke Perlis.

“Sungai Korok juga akan menyalurkan air ke loji rawatan air (LRA) sekiranya diperlukan dan memandangkan sekarang ini musim menanam padi, air di sungai ini berada pada paras biasa iaitu sedalam kira-kira enam meter.

Artikel Berkaitan:

“Namun, kita juga ada bertanya kepada pihak berkuasa sama ada perlu untuk merendahkan paras air bagi membantu kerja-kerja pencarian kereta mangsa yang sejak awal disyaki terbabas ke dalam sungai ini,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan meningkatkan tahap keselamatan di laluan sepanjang Sungai Korok bagi mengurangkan risiko kemalangan terutama kenderaan terbabas ke dalam sungai.

Beliau berkata, infrastruktur seperti pagar penghadang dan lampu jalan di kawasan itu akan diteliti dan diberi keutamaan demi keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan enam sekeluarga meninggal dunia dalam insiden menyayat hati setelah kereta jenis Proton Iswara dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai terbabit.

Kehilangan mereka disedari apabila tidak sampai ke rumah di Jerlun semasa dalam perjalanan pulang dari rumah saudara di Taman Aman, Jitra kira-kira jam 5.30 pagi pada Sabtu.

Misteri kehilangan itu terjawab apabila bumbung kenderaan milik keluarga itu kelihatan di permukaan sungai pada pagi Isnin sekali gus menemui enam mangsa yang berada di dalamnya.

Mereka yang terkorban ialah Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, bersama empat anak, Putra Rayyan Nur Izat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!