Kenyataan AGC seolah-olah sahkan cubaan pengaruh lantikan hakim telah dibincangkan

SHAH ALAM - Kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Selasa seolah-olah mengesahkan bahawa dakwaan cubaan mempengaruhi pelantikan hakim Mahkamah Persekutuan telah dibincangkan dalam mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kenyataan tersebut juga memberi pengesahan secara tidak langsung bahawa terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan ada pencalonan dari JAC yang tidak dipertimbangkan atau tidak diambil tindakan.
“Ia juga secara tidak langsung mengesahkan mesyuarat JAC yang terkini dipanggil tanpa mematuhi notis 10 hari seperti kehendak pentadbiran.
“Sementara saya sedia maklum peruntukan Perlembagaan Persekutuan bahawa tanggungjawab menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah kuasa Perdana Menteri dan kuasa JAC ialah mengemukakan senarai calon yang telah dipertimbangkan serta ditapis kepada Perdana Menteri.
“Keadaan bila mana ada kekosongan mendesak dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Persekutuan akibat kelewatan pelantikan membayangkan Perdana Menteri tidak bersetuju dengan calon-calon yang telah dikemukakan JAC,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Pada Isnin, sembilan Ahli Parlimen PKR mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.
Rafizi berkata, kemelut berhubung pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman perlu diberi perhatian segera kerana situasinya kini dilihat mirip skandal video VK Lingam pada 2007 yang membabitkan cubaan mempengaruhi lantikan Ketua Hakim Negara ketika itu.
Ujar Ahli Parlimen Pandan itu, dari sudut pandangan umum, ia menguatkan spekulasi bahawa cabang eksekutif mahu mempengaruhi pelantikan hakim-hakim yang dirasakan lebih serasi dengan pandangan kerajaan.
“Jika tanggungjawab Perdana Menteri di bawah Perlembagaan adalah melindungi kebebasan, kredibiliti dan integriti badan kehakiman seperti kenyataan AGC, maka perkara yang boleh mengundang spekulasi seperti cubaan mempengaruhi pelantikan hakim itu perlu dielakkan, walaupun ia tidak melanggar tatacara prosedur.
“Bukanlah tempat atau hak AGC untuk menilai dan menentukan sama ada itu satu dakwaan pra-matang atau bersifat spekulatif semata-mata.
“AGC sendiri mengakui bahawa pertimbangan dalam mesyuarat JAC adalah bersifat rahsia, jadi bagaimana AGC boleh membuat kesimpulan dakwaan-dakwaan itu tidak ada merit?” soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

